Mencari jenis keju dan kegunaannya?

Keju merupakan antara produk tenusu yang sangat popular yang kaya dengan zat seperti kalsium, lemak dan protein.

Selain itu, ianya juga mampu meningkatkan serotonin, sejenis bahan kimia yang berkait dengan rasa bahagia.

Keju juga mempunyai banyak jenis dan kegunaannya. Jadi, berikut kami senaraikan 10 jenis keju dan kegunaannya. Teruskan membaca!

#1 Keju Mozarela

Keju jenis ini pasti sudah biasa anda dengari, ianya kerap digunakan dalam kebanyakan hidangan terutamanya hidangan Itali.

jenis keju
Imej via Serious Eats

Keju Mozarela ini sendiri sebenarnya berasal dari selatan Itali dan secara tradisinya dibuat dari susu kerbau Itali. Jika kualitinya terbaik, warnanya ialah putih tetapi boleh menjadi kekuningan kerana diet haiwan.

Ianya mempunyai rasa kemanisan susu yang sangat bagus digunakan untuk ditaburkan di atas pizza dan salad.

Jenis hidangan lain yang menggunakan keju ini termasuklah corn dog, cheese ball, enchiladas, risotto dan potato croquettes.

#2 Keju Cheddar

Sebut sahaja Cheddar, anda pasti dapat membayangkan rupa dan cara ianya dihidangkan, bukan?

Keju Cheddar adalah keju yang keras dan selalu dipasarkan dalam bentuk blok. Ianya berwarna kuning pucat hingga kuning keemasan dan rasanya sedikit kuat berbanding keju lain.

jenis keju
Imej via verywellfit

Ianya dipasarkan secara meluas di United Kingdom. Malah, di Malaysia sendiri, keju Cheddar turut menempa populariti kerana penggunannya yang meluas dalam kebanyakan makanan.

Contoh kegunaan keju ini ialah mac & cheese, cheesy wedges, kek keju, spaghetti carbonara, burger keju, biskut dan pizza. Kebanyakannya diparut dan diletakkan di atas hidangan ini.

#3 Keju Parmesan

Keju ini merupakan keju versi Inggeris untuk keju Parmigiano-Reggiano yang merupakan keju asli yang dikeluarkan di beberapa daerah di Itali.

jenis keju parmesan
Imej via Today Show

Keju Parmesan ini merupakan inspirasi daripada keju tersebut. Ianya mempunyai tekstur yang keras dan rapuh serta rasa kekacang yang sedikit berlemak dan masin.

Ianya digunakan dalam makanan dalam bentuk parutan dan juga turut digunakan sebagai topping disebabkan oleh teksturnya yang keras.

Antara hidangan yang menggunakan keju Parmesan ialah pizza, biskut, kek keju, cheese sticks, pasta, garlic bread dan lasagna. Sangat berbagai!

#4 Keju Parmigiano–Reggiano

Inilah dia versi asal untuk keju Parmesan –  Parmigiano–Reggiano.  Parmigiano–Reggiano merupakan keju berbutir keras dari Itali.

jenis keju parmigiano-reggiano
Imej via Williams Sonoma

Ia dihasilkan dari susu lembu yang berumur sekurang-kurangnya 12 bulan. Keju ini dinamakan bersempena daerah penghasilnya iaitu Parma, Reggio Emilia.

Berbanding keju Parmesan, keju jenis ini dikatakan lebih berkualiti memandangkan ianya merupakan keju asal untuk keju parmesan.

Ianya digunakan untuk membuat spaghetti carbonara yang asli, salad, risotto dan ditaburkan di atas snek.

#5 Keju Krim

Ini merupakan bahan yang wajib ada dalam kebanyakan kek keju yang viral – keju krim. Bukti popularitinya terserlah apabila ianya kerap kehabisan stok di pasaraya.

cream cheese
Imej via Will Cook For Smiles

Ianya merupakan keju segar yang lembut dan lazat yang diperbuat daripada susu dan krim. Antara jenama keju krim yang popular ialah Philadelphia, Anchor dan Tatura.

Keju krim ini sesuai digunakan untuk kek keju tanpa bakar, roti dan juga sesuai digunakan sebagai spread untuk roti.

#6 Mascaporne

Mascaporne ini kelihatan sama seperti keju krim, namun berbeza dari segi bahannya. Kualitinya juga lebih tinggi berbanding keju krim.

mascaporne cheese
Imej via The Spruce Eats

Ianya adalah keju lembut Itali yang terbuat dari krim yang dibekukan dengan penambahan bahan berasid seperti jus lemon, cuka, atau asid sitrik.

Mascarpone dapat dicampurkan dengan hidangan manis untuk menambahkan rasa berkrim. Ianya juga sesuai digunakan sebagai frosting untuk kek atau kek cawan.

#7 Keju Feta

Keju Feta ini juga ada dipasarkan di kebanyakan pasaraya. Ianya bersaiz kecil dan berbentuk kiub.

keju feta cheese
Imej via Healthline

Ianya berasal dari Greek dan diperbuat daripada susu kambing. Teksturnya lembut, rasanya masin dan ianya juga tidak berlubang.

Keju Feta ini sesuai digunakan untuk membuat pasta, salad, pizza, sandwich, nachos dan juga sesuai diparutkan pada makanan.

Selain itu, ianya dilindungi oleh perundangan Kesatuan Eropah. Hanya keju yang telah dihasilkan di Macedonia, Thessaly, Thrace, Central Mainland Greece, Lesvos dan Peloponnese yang dapat disebut ‘feta.’

#8 Keju Brie

Keju Brie merupakan keju yang berasal dari Perancis. Ianya turut menjadi hidangan utama untuk raja Perancis pada zaman dahulu.

keju brie cheese
Imej via The Spruce Eats

Ianya merupakan keju susu lembu yang dinamakan Brie bersempena dengan wilayah Brie di Perancis. Warnanya pucat dengan sedikit warna kelabu di bahagian bawah atau kulitnya.

Rasa keju Brie ini ringan, berkrim dan teksturnya juga lembut. Ianya boleh digunakan untuk membuat sandwich, bruschetta dan linguine.

#9 Keju Emmental

Anda pasti biasa terlihat jenis keju ini di kaca TV, bukan? Tambahan pula dalam rancangan kartun, keju sebegitu memang wujud dan ianya adalah keju Emmental.

Imej via Pinterest

Keju Emmental dihasilkan di daerah tengah Switzerland dari susu lembu yang tidak dipasteurisasi. Teksturnya keras dan kulit tipisnya biasanya dibungkus kertas, yang tertera nama pengeluar di atasnya.

Keju ini sesuai untuk dicairkan dan digunakan untuk membuat casserole, sandwich, pasta dan telur hancur.

#10 Keju Gruyere

Satu lagi jenis keju yang wajib anda ketahui ialah keju Gruyere. Ianya juga merupakan keju yang berasal dari Switzerland.

keju gruyere cheese
Imej via Solid Eats

Rasanya manis tetapi sedikit masin dan teksturnya bergantung kepada usia. Teksturnya digambarkan sebagai berkrim semasa muda dan menjadi lebih keras semasa ianya sudah matang.

Keju Gruyere boleh digunakan dalam hidangan panggang, sup, casserole dan juga boleh diparut di atas salad dan pasta. Ianya juga boleh dicairkan.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa jenis keju yang ingin anda tahu? Atau rambang mata kerana semuanya kelihatan menarik untuk dicuba?

Tidak mengapa, cuba sahaja satu-persatu, kerana setiap jenis yang disenaraikan ini mempunyai keistimewaan dan kegunaan yang tersendiri. Selamat mencuba!

Artikel Menarik Lain

Mencari artikel lain untuk dibaca? Klik sahaja pada pautan di bawah.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.