Sarawak memiliki pelbagai etnik yang berbeza. Namun, masyarakat hidup serumpun dan sentiasa saling menghormati satu sama lain. Secara umumnya, masyarakat Dayak terbahagi kepada dua etnik iaitu Dayak Bidayuh dan juga Dayak Iban.
Kebanyakan masyarakat Bidayuh menganut agama Kristian, namun ada juga yang beragama Islam tetapi hanyalah sebilangan kecil sahaja. Kaum ini turut memiliki makanan tradisional mereka sendiri, biarpun Bidayuh dan Iban dari rumpun yang sama, namun dari segi penyediaan makanan, ia memiliki sedikit perbezaan.
Pelbagai makanan tradisi Bidayuh hampir sama dengan etnik Iban, namun nama makanan juga adalah berbeza biarpun hidangannya kelihatan hampir sama. Penggunaan buluh sebagai bahan untuk memasak turut digunakan oleh etnik – etnik lain seperti Iban. Memasak menggunakan buluh sebenarnya turut menghasilkan aroma serta keenakan yang tersendiri tambahan pula ia turut dibakar menggunakan kayu api.
Antara hidangan tradisi masyarakat Bidayuh yang masih dikekalkan sehingga hari ini adalah seperti :
Asam siok ini merupakan beras yang dimasak bersama ayam dan menggunakan buluh sebagai salah satu bahan utama. Ia merupakan antara makanan tradisi makanan Bidayuh yang begitu terkenal.
Buluh digunakan sebagai medium untuk memasak ayam dan beras. Hidangan ini begitu jarang dikenali oleh masyarakat Sarawak, namun asam siok ini seakan manok pansoh yang berasal dari Iban. Walaubagaimanapun, asam siok ini merupakan hidangan versi masyarakat Bidayuh.
Antara lain makanan masyarakat Bidayuh adalah kersem. Ia merupakan hidangan yang berasaskan daging babi yang ditapai.
Makanan ini memiliki aroma yang wangi serta rasa masin. Malah, hidangan ini boleh disimpan sehingga berbulan lamanya.
Kersem ini dicampurkan dengan beras serta garam yang dimasak dan ditanam dalam periuk yang dipanggil urn selama beberapa bulan. Oleh sebab itu hidangan ini boleh disimpan dalam tempoh yang agak lama.
Suku kaum Bidayuh turut membuat minuman beralkohol sendiri yang dikenali sebagai Tepui. Minuman ini biasanya diminum selepas makan malam.
Tepui ini diperbuat daripada jus tebu dan rasanya lebih halus serta menenangkan berbanding langkau dan tuak. Ia menjadi kegemaran hampir seluruh masyarakat Bidayuh.
Orang Bidayuh juga mempunyai sambal belacan versi Bidayuh yang berbeza dengan sambal belacan masyarakat Melayu. Sambal belacan masyarakat Bidayuh terdiri dari ikan bilis, belacan dan cili padi sahaja.
Bahan – bahan tersebut ditumbuk kasar bersama – sama kecuali bawang merah. Ia boleh dimakan bersama ulam – ulaman seperti timun, salad dan pelbagai jenis ulam yang lain.
Kasam ikan atau pekasam biasanya dibuat menggunakan ikan air tawar. Ia begitu popular di kalangan masyarakat Melayu serta masyarakat Bidayuh di Sarawak. Nama lain makanan ini adalah gires.
Orang Bidayuh biasanya menggaulkan nasi lama ke dalam pekasam mereka bagi memberikan rasa yang lebih enak. Sesetengahnya pula mencampurkan dengan beberapa jenis daun rempah yang terdapat di Sarawak bagi menambah rasa pada pekasam.
Penggunaan ikan sungai yang sesuai seperti tilapia, ikan lampam dan sebagainya adalah sangat penting bagi menghasilkan pekasam yang sempurna.
Salah satu hidangan yang membangkitkan selera dan menjadi kegemaran masyakat Bidayuh adalah sup ikan dengan terung kuning. Terung ini turut dikenali sebagai ‘terung dayak’ dan berada dalam kategori solanaceae.
Ia berwarna kuning serta memiliki rasa yang masam dan tidak seperti terung India yang biasa terdapat di pasaran. Terung kuning ini juga perlu dimasak lebih lama berbanding terung biasa.
Rasa masam terung ini memberi kelainan dalam hidangan dan boleh dicampurkan dengan ikan, ayam atau daging.
Sup ponas menggunakan ubi kayu sebagai bahan utama dan merupakan antara makanan tradisi masyarakat Bidayuh. Ubi kayu yang digunakan perlu diparut terlebih dahulu bagi menghasilkan rasa yang tersendiri.
Antara lain yang dicampurkan adalah serai, bawang putih, cili serta bahan – bahan lain yang dapat menambahkan rasa yang lebih enak dalam sup ponas.
Ini merupakan hidangan yang paling mudah dihidangkan serta menjadi antara makanan etnik Bidayuh. Memandangkan masyarakat Bidayuh sering bercucuk tanam di kawasan sekitar rumah, maka tidak hairanlah stok serai mudah diperolehi. Oleh itu, tercetuslah samal sorai ini di kalangan masyarakat Bidayuh.
Samal sorai itu mempunyai aroma yang begitu mengliurkan tambahan pula dicampurkan beberapa bahan lain untuk menghasilkannya. Selain serai, sambal ini turut menggunakan ikan bilis, bawang merah dan bawang putih, cili belacan serta sedikit garam.
Ikan bilis perlu digoreng garing terlebih dahulu sebelum dimasukkan bahan – bahan lain dan digaul bersama. Sambal yang ringkas ini sangat enak dimakan bersama nasi putih dan sering menjadi penambah selera.
Ayam kacang ma merupakan hidangan yang begitu unik serta dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan. Ia juga sering dijadikan menu semasa wanita dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak. Hidangan ini dikatakan mampu memperbaiki peredaran darah seseorang, memperbaiki sistem kardiovaskular termasuklah diuresis.
Antara bahan utama yang digunakan adalah ayam serta kacang ma. Untuk menyediakan hidangan ini, herba kacang ma perlu digoreng tanpa minyak terlebih dahulu.
Setelah itu, barulah bahan – bahan lain dicampurkan seperti ayam, halia serta arak putih Cina dan dimasak sehingga selesai. Aroma yang terhasil dari hidangan ini membuatkan masyarakat Bidayuh sangat mengaguminya.
Isam atau sesetengah masyarakat di Sarawak memanggilnya Kaboh merupakan nasi yang telah digaul bersama ayam dan serai lalu dimasak di dalam buluh. Ia bukanlah seperti manuk pansuh biarpun dimasak di dalam buluh. Manuk pansuh merupakan makanan tradisi masyarakat Iban, tetapi isam pula merupakan makanan tradisi masyarakat Bidayuh.
Biarpun isam ini kelihatan seperti hidangan ayam pansuh, namun bahan – bahan yang digunakan adalah berbeza. Isam merupakan nasi ayam, manakala manuk pansuh pula ayam yang dimasak bersama pucuk ubi.
Aroma isam cukup memukau kerana menggunakan serai serta bawang yang mengharumkan hidangan tersebut. Buluh yang digunakan untuk memasak isam juga sedikit besar.
Nasi perlu dimasak terlebih dahulu dan disejukkan supaya tidak melekit dan lebih seroi. Ia kemudiannya digaul bersama ayam mentah serta beberapa bahan lain antaranya serai, bawang putih dan juga garam. Setelah itu ia akan dimasukkan ke dalam buluh sedikit demi sedikit.
Hujung buluh ini tersebut akan disumbatkan dengan pucuk ubi sebelum buluh tersebut dibakar selama 40 minit hingga 1 jam. Isam yang telah siap akan dibuang kulitnya terlebih dahulu bagi memudahkan isam dikeluarkan dari buluh. Ianya boleh terus dimakan begitu sahaja kerana rasanya sudah cukup sempurna.
Di kalangan masyarakat Bidayuh, duon bandung ini merupakan daun ubi kayu. Tebah duon bandung ini merupakan jeruk atau pekasam daun ubi kayu yang diperbuat secara tradisional. Hidangan ini merupakan makanan tradisi masyarakat Bidayuh dan dinikmati oleh setiap lapisan generasi.
Cara menyediakan hidangan ini mengambil masa yang agak lama. Daun pucuk ubi yang telah dipetik perlu dikeringkan terlebih dahulu di bawah cahaya matahari.
Sebuah balang kaca diperlukan untuk menyimpan daun ini kerana balang kaca tidak berpori dan kedap udara. Setelah daun ubi tersebut kering, bubur nasi pula perlu disediakan.
Daun tersebut perlu dimasukkan ke dalam kaca dan dicampurkan bersama bubur nasi yang telah siap masak dan disejukkan. Bahan – bahan ini perlu dibiarkan di dalam balang selama beberapa hari iaitu sekurang – kurangnya lima hari atau lebih lama lagi bergantung kepada kuantiti sebelum ianya boleh dimakan.
Hidangan ini boleh dimakan bersama nasi, malah ia juga boleh dimasak bersama daging ataupun ikan. Biasanya ia juga dihidangkan menjelang musim perayaan dan turut digunakan untuk memasak ayam pansuh.
Sayur midin sememangnya terkenal di negeri Sarawak. Malah, boleh dikatakan seluruh rakyat Sarawak menggemari sayur ini dan sayur midin ini tidak terdapat di negeri semenanjung Malaysia.
Sayur ini merupakan sayur pakis liar yang hanya boleh ditemui di Sarawak. Biasanya masyarakat Bidayuh memasak sayur ini bersama udang yang telah ditumbuk bersama bawang putih dan juga bawang merah. Ia turut dicampurkan dengan sedikit belacan sebagai penambah perisa.
Kaedah memasak sayur ini hanyalah dengan menggoreng secara ringkas sahaja kerana sayur ini tidak perlu dimasak terlalu lama bagi mengekalkan tekstur sayur tersebut.
Bunga durian antara makanan tradisi masyarakat Bidayuh yang begitu ringkas tetapi sedap. Hidangan ini biasanya hanya boleh didapati semasa musim durian sahaja kerana pada musim – musim lain, tiada bunga durian dapat diperolehi.
Bunga durian ini digoreng bersama ikan bilis atau belacan. Rasanya agak unik berbanding sayuran lain.
Bahan – bahan asas untuk dijadikan makanan masyarakat Bidayuh adalah sangat mudah didapati. Tambahan pula, ada yang masih mengamalkan kegiatan bercucuk tanam di kawasan rumah.
Daun ubi kayu goreng antara makanan tradisi kaum Bidayuh. Ia biasanya dimasak bersama bawang serta ikan bilis dan dimakan bersama nasi putih atau linut. Biarpun cara menyediakannya sangat mudah, namun rasanya tetap enak tanpa ragu.
Jika negeri Pahang terkenal dengan gulai tempoyak, negeri Sarawak juga tidak kurang hebatnya juga mempunyai hidangan berasaskan tempoyak. Hampir seluruh masyarakat Sarawak sangat menggemari hidangan ini iaitu tempoyak goreng.
Tempoyak antara bahan penting dalam masakan masyarakat Bidayuh. Ia sering digunakan dalam apa jua hidangan mereka.
Hidangan ini biasanya digoreng bersama cili, bawang merah, ikan bilis serta gula. Ia akan digoreng bersama minyak masak dan digoreng sehingga sedikit garing. Biasanya tempoyak goreng ini dimakan bersama nasi putih dan pastinya ia cukup mengliurkan.
Pangkang pula jika dilihat seakan – akan lemang kerana ianya dimasak menggunakan buluh. Namun, cara untuk membuatnya juga tidak jauh beza dari membuat lemang, tetapi pangkang tidak menggunakan daun pisang sebagai pembalut di bahagian dalam buluh.
Hidangan ini juga menggunakan hanya sedikit santan sahaja. Untuk membuat pangkang, beras pulut akan dimasukkan ke dalam buluh bersama sedikit santan. Ia kemudiannya akan dibakar menggunakan kayu api sehingga masak.
Setelah siap dibakar, kulit luar buluh akan dikupas sedikit bagi memudahkan pangkang dikeluarkan hanya menggunakan tangan dengan hanya menarik kulit buluh tersebut. Pangkang ini biasanya dimakan bersama lauk pauk atau boleh dimakan begitu sahaja. Jika pangkang yang dimakan tidak habis, kulit buluh tersebut boleh diikat supaya isi pulutnya tidak terdedah.
Tepus merupakan tumbuhan yang berasal dari keluarga halia. Namun, bentuknya pula seakan – akan serai. Ia memiliki bau yang agak kuat serta rasa yang tersendiri jika dinikmati secara mentah.
Hidangan berasaskan tepus ini boleh dimasak bersama belacan dan kombinasi tepus dan belacan ini menjadikan hidangan ini begitu unik. Ia boleh dimakan bersama nasi dan hidangan ini semakin sukar didapati.
Kebanyakan makanan kaum Bidayuh hampir sama dengan masyarakat Iban. Namun, ia agak berbeza dari segi bahan – bahan yang digunakan serta cara menyediakannya. Malah, nama hidangan juga ternyata berbeza.
Makanan tradisi kaum ini juga menggunakan pelbagai bahan yang mudah didapati di kawasan persekitaran. Malah, cara penyediaannya yang masih menggunakan cara konvensional membuatkan makanan tradisi mereka menjadi begitu istimewa.
Ini adalah salah satu cara bagi kaum Bidayuh mengekalkan kewujudan makanan tradisi mereka supaya generasi baru dapat meneruskan legasi makanan tradisi Bidayuh sampai bila – bila. Generasi baru seharusnya meneruskan serta mempertahankan makanan tradisi mereka biarpun telah menetap di bandar – bandar utama.