Agak-agak makanan apa yang mula terlintas di minda anda bila kami sebut sahaja tentang Temerloh? Pasti patin tempoyak mula menjengah minda, bukan?

kancil raja patin

Imej via Foursquare

Ada banyak juga gerai dan restoran yang menghidangkan patin tempoyak. Restoran Kancil Raja Patin merupakan salah satu restoran  yang cukup terkenal di Temerloh. Teruskan membaca untuk mengetahui apa yang menarik di sini!

Kualiti Ikan Patin yang Dijamin Terbaik

Ikan di sesetengah kedai makan kadangkala rasanya kurang enak dan segar. Baunya pula agak hanyir, jadi hal ini boleh mematikan selera pengunjung.

Namun di restoran Kancil Raja Patin, masalah sebegini tidak akan anda hadapi! Rata-rata pelanggan memuji ikan patin yang cukup segar dan tidak hanyir baunya. Rasanya juga tidak kurang enaknya.

Patin Pais, Hidangan Kegemaran Ramai Pelanggan

Kepada yang tertanya-tanya, pais ini bermaksud lauk yang dihidangkan dalam bungkusan daun pisang. Di Kancil Raja Patin, Patin Pais merupakan antara menu yang cukup digilai ramai.

patin @ krp

Imej via Facebook

Cara penyediannya nampak mudah namun memerlukan kepakaran yang tinggi bagi menjamin kualitinya. Ikan patin akan disalut dengan pes tempoyak buatan sendiri dan seterusnya dipanggang.

patin pais

Imej via Facebook

Rasanya bukan sahaja enak, malah aroma tempoyaknya cukup menggoda. Sesiapa sahaja yang terbau, pasti akan kecur air liur! Rasa tempoyak yang berlemak juga sedap dan tidak memuakkan.

Patin Penyet, Hidangan Unik Lagi Istimewa

Biasanya kita terdengar tentang Ayam Penyet yang merupakan hidangan Indonesia yang cukup popular. Namun, pernahkah anda mencuba atau terdengar tentang Patin Penyet? Unik bunyinya, bukan?

Hidangan yang lain daripada lain ini hanya boleh didapati di restoran Kancil Raja Patin! Walaupun jarang didengari, menu ini merupakan antara menu yang laku keras di sini.

patin penyet @ kancil raja patin

Imej via Instagram

Ikan patin yang digoreng rangup ini dihidangkan bersama Sambal Penyet dan tempe goreng. Sambal Penyet di sini memang pedas, jadi jika anda penggemar makanan pedas, anda wajib mencubanya!

Patin Mangkat Dijulang, Gulai Patin Tempoyak Tersedap

gulai patin tempoyak @ kancil raja patin

Imej via Foursquare

Unik betul nama hidangan ini! Patin Mangkat Dijulang ini merupakan gulai patin tempoyak. Ikan patin yang dimasak gulai dan dicampur dengan tempoyak ini juga merupakan antara menu terbaik di sini.

patin mangkat dijulang @ kancil raja patin

Imej via Foursquare

Bagi yang lebih sukakan hidangan berkuah, hidangan ini pasti kena dengan citarasa anda. Rasanya yang pedas dan cukup berlemak ini berjaya memikat hati ramai. Kami yakin anda pasti akan turut teprikat!

Banyak Lagi

menu @ kancil raja patin

Imej via Instagram

udang terdampar @ kancil raja patin

Imej via Instagram

Bukan ikan patin sahaja yang terkenal di restoran Kancil Raja Patin. Hidangan lain seperti Ayam Goreng Crispy, Udang Terdampar dan Talapia Goreng juga turut mendapat tempias yang sama.

laici kang @ kancil raja patin

Imej via Instagram

Untuk pencuci mulut dan minuman, anda boleh mencuba ABC Mangga, Ais Jagung dan Laici Kang. Bukan sahaja manis, malah menyegarkan tekak!

Kesimpulan

Banyak juga hidangan yang menarik di restoran Kancil Raja Patin ini. Ramai pelanggan turut mengakui yang mereka sendiri keliru lauk yang mana yang patut dipilih kerana semuanya sedap-sedap belaka!

Kepada pelanggan yang sudah mula bekeroncong perut itu, lekaslah singgah di restoran ini jika berpeluang ya. Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran. Selamat menjamu selera!

Alamat: No 2A, 28000 Temerloh, Pahang

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 pagi – 5 petang

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .