Apabila terasa Barat, maka hidangan Barat jua lah yang diidamkan, ibarat ibu mengandung anak dalam perut pula. Kini, makanan Barat bukanlah sesuatu yang sukar diperolehi di Malaysia. Restoran yang menyajikan hidangan ini sudah semakin bercambah di serata negara.
Makanya, bagi yang mengidam menu masakan Barat, tidak perlu gusar lagi. Tidak perlu menempah tiket kapal terbang untuk ke Itali, datang sahaja ke Kafe ProjektMakan di Kuantan. Hidangan lebih 20 menu citarasa asli menjadi keutamaan di sini.
Tepuk dada, tanya selera. Mahu makan di mana, sudah tentulah di Kafe ProjektMakan ini. Kedudukan lokasi restoran bersebelahan Hotel Rocana dan Politeknik Metro, menjadikan restoran ini menjadi tumpuan setiap hari.
Pelbagai menu di sini memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati hidangan Barat, pasta dan makanan laut. Tukang masak yang berpengalaman ditugaskan menyediakan menu Barat yang menampilkan citarasa asli.
Kebiasaannya, pelanggan yang pertama kali datang menjamu selera di sini akan terus terpikat dengan hidangan di sini. Ini kerana hidangan yang disajikan ternyata berbeza dari segi rasa dan kualiti. Kesemua bahan perapan daging lembu, kambing dan ayam menggunakan rempah ratus serta herba dari Itali. Selain itu, penggunaan butter milk serta sos pencicah yang digunakan menghasilkan rasa yang begitu istimewa.
Bagi menghasilkan rasa hidangan yang lebih bombastic, resepi sedia ada telah diolah semula supaya ia sesuai dengan selera masyarakat tempatan. Pelanggan yang datang ke sini sering memilih menu seperti chicken Milanese yang merupakan kepingan daging ayam yang disaluti serbuk roti. Bahagian permukaan atas ayam tersebut dihiai dengan keju dan dimakan bersama sos keju yang berkrim.
Anda juga boleh mencuba hidangan pasta seperti aglio olio shrimp, Bolognese meatball, laksa goreng ayam, laksa goreng kambing. Menu lain yang tidak perlu diragui lagi seperti alfredo with grill lamb dan juga alfredo tuna dimakan bersama sos keju. Setiap hidangan ini berharga antara RM 7.90 hingga RM 15.90.
Untuk hidangan lain seperti avant-garde streak, chicken chop, ribs grill steak, mix grill steak and chicken, mix grill chicken and lamb, lamb grill yang dimakan sos lada hitam berharga antara RM 14.00 hingga RM 35 untuk setiap set.
Menu hidangan berasaskan makanan laut yang terdapat di sini adalah seperti Asian lobster, Borneo lobster, oyster grill, slipper lobster pula berharga antara RM 25.00 hingga RM 80.00 untuk setiap set hidangan. Bagi hidangan shell out atau seafood platter yang mempunyai pelbagai gabungan siput buluh, kupang, ketam, lala serta nasi putih, harganya pula adalah RM 35.00 untuk set 2 orang dan RM 59.00 untuk set empat orang.
Hidangan shellout ini menggunakan dua jenis sos iaitu sos butter milk dan juga sos lousiana yang merupakan campuran rempah ratus serta herba Itali, garam, gula, cili potong dan juga bawang putih. Gabungan kesemua bahan ini menghasilkan rasa yang berbeza dengan shellout di tempat lain.
Anda juga disarankan untuk mencuba air minuman herba yang diberi nama Ayaq Sungai Petani. Ia mempunyai rasa berempah serta berangin kerana turut mengandungi pelbagai campuran herba seperti bunga lawang, bunga cengkih, halia, lemon, serai dan juga pudina.
Pilihan minuman lain yang boleh anda cuba juga adalah seperti pink peach, samudera biru, apple frizz, strawberi mojitos, red devil, milkshake perasa Nutella, coklat, red velvet, peanut butter dan juga strawberi. Setiap minuman dihiasi dengan pelbagai topping seperti ais krim, kek coklat, pretzel dan juga marshmallow di bahagian permukaan serta dihiasi dengan taburan kacang taburan yang begitu enak sekali.
Setiap hari restoran ini dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 12.00 tengah malam dan sesuai dijadikan lokasi untuk menjamu selera bersama keluarga.
Alamat : A11, Jalan Tun Ismail 2, Sri Dagangan 2, 25000 Kuantan