Anda minat daging arnab? Mungkin ramai yang agak sukar mengunyah daging haiwan comel ini. Daging arnab masak lada hitam dan arnab berlado mungkin kedengaran agak asing. Namun ia mempunyai penggemarnya sendiri. Malah ramai yang menyifatkan sebagai makanan jarang dihidang di restoran dan mempunyai rasa tersendiri. Kafe Kolam Kuda di FELDA Sungai Behrang, dekat Tanjung Malim, Perak, memperkenalkan menu daging arnab.
Kafe ini memperkenalkan menu daging arnab, khas bagi penggemar menu itu dan mereka yang mahu mencuba keenakannya. Bagi individu kali pertama mencuba masakan itu pastinya akan jatuh hati dengan keenakannya yang dikatakan lebih sedap berbanding ayam.
Ada yang menyifatkan keenakan daging arnab seperti gabungan antara ayam kampung dengan landak. Sebenarnya daging arnab mempunyai banyak khasiat jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti ayam, kambing, biri-biri dan lembu. Ia rendah kandungan lemak, kalori, kolesterol dan asid urik.
Daging arnab juga kaya dengan vitamin B12. Serta mempunyai kandungan air yang tinggi jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti ayam dan lembu.
Kafe Kolam Kuda turut menyediakan pelbagai menu lain termasuk nasi goreng sambal besi, nasi lemak dan ikan bakar air asam. Selain itu anda juga boleh beriadah di sini.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah menaiki kereta kuda. Anak-anak pun tidak bosan sambil menikmati hidangan di sini.
Ramai yang memuji hidangan arnab di sini. Tidak banyak kedai yang menawarkan menu berasaskan daging arnab, malah mungkin ramai berpandangan menu seperti itu sukar mendapat sambutan.
Keenakan hidangan arnab berlado tiada tandingannya. Ia menjadi hidangan yang paling ramai orang memesannya.
Kafe Kolam Kuda terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan dari Plaza Tol Behrang atau kira-kira 10 minit dari Slim River. Kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, sudah pasti boleh menjadi lokasi persinggahan istimewa.
Lokasi: Hujung Jalan L Felda, Sungai Behrang, Kampung Behrang, Perak
Dibuka : Setiap hari, kecuali Isnin
Operasi: Jam 7 pagi – 7 malam