Mencari informasi tentang jenis laksa yang ada di Malaysia?

Laksa merupakan hidangan berkuah yang sangat popular di Malaysia. Ianya juga mempunyai versi sendiri untuk kebanyakan negeri.

Ada yang rasanya berlemak, ada yang rasanya pedas dan ada juga yang berbeza dari segi mi yang digunakan.

Tertanya-tanya tentang jenis laksa dan beza setiap laksa? Untuk itu, berikut kami senaraikan 9 jenis laksa untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Laksa Penang

Laksa Penang atau turut dikenali Asam Laksa merupakan laksa dari Penang yang cukup popular.

jenis laksa penang
Imej via Pinterest

Ianya digemari disebabkan rasa masam dan masin yang sebati. Bahan utama untuk laksa ini ialah ikan rebus segar, daun kantan dan bunga kesum.

Selain itu, untuk menyerlah lagi rasa laksa ini, ada juga yang menambahkan belacan bakar dan isi udang, memang sedap!

Sebagai tambahan, laksa ini akan disajikan bersama telur rebus, potongan bawang, limau nipis dan sayur racik.

#2 Laksa Terengganu

Laksa Terengganu merupakan hidangan berkuah yang popular di Terengganu.

Ianya didatangkan dengan dua jenis kuah sama ada mentah atau masak. Kuah mentah ini merupakan santan yang dicampur air panas tanpa dimasak. Ia dicampurkan dengan lada hitam, isi ikan dan bawang.

Imej via Facebook

Manakala kuah masak merupakan kuah gulai yang seakan-akan kuah laksa Johor. Ianya turut disertakan dengan bahan utama yang lain.

Mi untuk laksa ini dibuat menggunakan tepung gandum atau laksa beras, sama seperti Laksa Penang.

#3 Laksa Johor

Laksa Johor merupakan hidangan berkuah dari negeri Johor. Berbanding laksa jenis yang lain, laksa ini agak mudah untuk dikenali kerana rupanya yang unik.

jenis laksa johor
Imej via Facebook

Hal ini kerana ianya menggunakan spaghetti sebagai laksanya, berbeza dengan laksa lain yang menggunakan laksa beras.

Kuahnya pula merupakan kuah kari yang pekat dan harum aromanya. Bahan asas untuk kuah ini ialah rempah ratus, ikan parang dan santan.

Laksa ini akan disajikan dengan ulam-ulaman segar seperti limau kasturi, bunga kantan, daun selasih, kacang panjang dan taugeh. Sambal turut diletakkan di atasnya.

#4 Laksa Sarawak

Laksa Sarawak merupakan salah satu juadah tradisional yang berasal dari negeri Sarawak.

Kuahnya berwarna kemerahan dan sedikit pekat kerana penggunaan sambal belacan atau sambal udang kering yang dicampur dengan serai, bawang putih, lengkuas, asam jawa dan santan.

jenis laksa sarawak
Imej via Facebook

Berbanding laksa Penang dan laksa Terengganu, laksa Sarawak menggunakan mihun sebagai mi untuk laksanya. Jadi, ianya lebih nipis.

Laksa Sarawak akan disajikan dengan tauge, bawang goreng, telur, udang, cili padi dan daun ketumbar yang ditaburkan di atasnya. Anda juga boleh perah limau nipis, bergantung kepada citarasa.

#5 Laksa Kuala Perlis

Anda pasti tertanya tanya – apa beza laksa Kuala Perlis atau laksa kola dengan laksa Penang? Walaupun Perlis merupakan negeri Utara, laksa kola tidak sama dengan laksa Penang.

laksa kola kuala perlis
Imej via Foursquare

Beza kedua-dua jenis laksa ini ialah laksa Kuala Perlis ini berbeza dari segi pembuatan laksa berasnya. Laksanya dibuat menggunakan tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Tekstur laksa kola juga sedikit halus berbanding laksa beras biasa. Kuahnya pula sama seperti laksa Penang dan tidak terlampau pekat.

Laksa ini akan disajikan dengan hirisan timun, potongan bawang dan telur rebus. Jika anda ke Kuala Perlis, anda wajib cuba laksa legend ini!

#6 Laksam

Ini merupakan hidangan sarapan yang bukan sahaja popular di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan, malah di seluruh Malaysia – laksam.

laksam
Imej via Facebook

Laksam tidak menggunakan laksa beras untuk mi. Sebaliknya ianya mengunakan kuey teow yang diperbuat daripada tepung beras dan digulung sebagai mi.

Untuk kuahnya, ia merupakan kuah berlemak yang dibuat menggunakan santan dan ikan rebus sebagai bahan-bahan utamanya.

Laksam ini selalunya disajikan bersama sambal di atasnya. Mi yang digunakan pula akan dipotong-potong supaya kuah lemaknya mudah meresap.

#7 Laksa Ipoh

Laksa jenis ini mungkin jarang anda lihat, namun kami yakin anda pasti akan teruja untuk mencubanya kerana keunikannya – laksa Ipoh.

Laksa Ipoh atau laksa telur bersarang ini bukan sahaja terkenal di Ipoh, malah pengaruhnya juga meluas hingga ke daerah lain di Perak seperti di Kuala Kangsar.

laksa telur bersarang
Imej via Foursquare

Keunikan utama laksa Ipoh ini terletak kepada telur yang digunakan. Ianya merupakan telur dadar yang digoreng dengan teknik yang istimewa, menjadikan bentuk telurnya persis sarang burung.

Kuah dan laksa beras yang digunakan pula sama dengan laksa Penang. Jika ke Ipoh, memang rugi jika anda tak cuba laksa telur bersarang ini!

#8 Laksa Kari

Laksa kari ini merupakan jenis laksa yang resepinya diolah, menjadikannya antara jenis laksa yang popular di negara kita.

laksa kari
Imej via Facebook

Hal ini disebabkan oleh penggunaan kuah gulai yang berlemak dan bikin sesiapa sahaja ketagih. Pendek kata, hirup kuah sehingga licin!

Ianya mempunyai unsur laksa Penang dan kuahnya diinspirasikan dari mi kari.

Ianya akan dinikmati dengan hirisan timun dan bawang yang ditaburkan di atas laksanya. Jika anda belum pernah cuba, anda wajib buat sendiri!

#9 Laksa Lemak Kedah

Anda pernah terdengar tentang laksa kuah lemak? Ianya merupakan laksa lemak Kedah.

Imej via Facebook

Laksa ini mengunakan laksa beras sebagai mi dan kuahnya pula merupakan kuah lemak dan warnanya kuning.

Bahan utama untuk kuah lemak ini lebih kurang dengan kuah laksa Penang, namun ianya ditambah dengan santan.

Ianya dinikmati dengan hirisan bawang, timun, daun selom dan cili padi. Boleh juga tambah telur rebus jika suka, dijamin lazat!

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa jenis laksa yang ingin anda cuba? Atau rambang mata kerana semuanya kelihatan lazat untuk dinikmati?

Tidak mengapa, cuba sahaja satu-persatu, kerana setiap jenis yang disenaraikan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Selamat mencuba!

Artikel Menarik Lain

Mencari artikel lain untuk dibaca? Klik sahaja pada pautan di bawah.

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.