Café kucing semakin mendapat tempat di negara kita dan fenomena ini tercetus dari pembukaan café kucing yang pertama telah dibuka di Taipei, Taiwan pada tahun 1998. Ia juga mendapat sambutan di Osaka, New York, Vienna, Austria, Hungary, California dan juga Korea.

Negara kita juga tidak terkecuali kerana telah terkena tempiasnya juga. Kewujudan Good Meowning Café di Jalan Suasana, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras telah menampilkan satu fenomena baru buat para pelanggannya.

Nasi Ayam

Imej via facebook

Suasana Bersih

Suasana persekitaran serta kebersihan café ini sentiasa menjadi keutamaan pemilik café ini demi menjaga keselesaan pelanggan yang datang menjamu selera. Pengunjung yang datang menjamu selera di sini berpeluang bermain serta mendekati pelbagai jenis kucing yang terdapat di sini.

Kebiasaannya di waktu hujung  minggu, restoran ini akan dipenuhi pelanggan yang ingin menjamu selera sambil bermain dengan 30 ekor kucing. Kucing – kucing yang terdapat di sini terdiri daripada pelbagai baka seperti kacukan Rag Doll, Maine Coon, British Short Hair dan juga Bengal. Kesemua kucing ini diletakkan di dalam ruangan kaca khas.

Kebab

Imej via facebook

Ruangan Kaca Khas Untuk Kucing

Tujuan café kucing ini dibuka adalah untuk mendidik masyarakat supaya menyayangi serta menghargai haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W dan bukannya mengikut trend semasa.

Kucing – kucing ini diletakkan di dalam ruangan kaca khas supaya ia tidak mengganggu pelanggan yang sedang menjamu selera. Setiap kucing dipastikan sihat, bersih dan cantik sebelum diletakkan di ruangan kaca khas.

Pelbagai Menu Pilihan Hati

Café ini menyajikan gabungan hidangan tempatan dan juga Barat. Antaranya adalah Spaghetti Baguih, Spaghetti Ariffia yang mempunyai campuran Ayam Cincang, Nasi Goreng Bujang (Nasi Goreng cili api bersama rempeyek rangup), sup moi bersama sambal bilis, kebab ayam, laksa Kedah, bihun sup, mee kari, roti jala, Nasi Lemak Meowveles serta kuih – muih Melayu, kek, brownies, truffle coklat serta kacang pecan dengan keju.

Mee Kuah

Imej via facebook

Menu signature di sini adalah Spaghetti Baguih yang menggunakan sos buatan sendiri. Ia menampilkan ramuan yang memberikan rasa pedas tetapi diimbangi dengan masam tomato serta lemak daging ayam. Kebab ayamnya pula dilimpahi dengan mayonis yang dihasilkan sendiri oleh pemilik restoran.

Hanya RM 5 Untuk Bersama Si Comel

Pengunjung yang ingin bermain bersama kucing di sini dikenakan bayaran sebanyak RM 5.00 sahaja bagi tempoh setengah jam. Demi menjaga kesejahteraan kucing di sini, pengunjung tidak dibenarkan memberi sebarang makanan kepada mereka supaya diet mereka tidak terganggu.

Badang, Cengkih dan Arang Pilihan Pengunjung

Antara kucing yang sering mendapat perhatian para pengunjung adalah kucing baka British Short Hair iaitu Badang, Cengkih spesies mix Rag Doll dan juga Arang yang berbulu hitam yang pandai mencuit hati para pelanggan. Kesemua kucing – kucing ini kelihatan manja dan begitu mudah mesra. Anda tidak perlu takut mendekati kucing – kucing ini dan boleh sahaja bermain bersama.

Cafe ini dibuka setiap hari kecuali Isnin, mulai jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam (Selasa – Jumaat) & 10.00 malam (Sabtu – Ahad).

Alamat : No 1, Jln Suasana 2/7A, Bdr Tun Hussein Onn Cheras, 43200 Selangor

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.