Caffe Diem – nama kafe ini cukup unik. Mengingatkan kami kepada frasa Latin iaitu ‘Carpe Diem’. Menarik, bukan?
Tidak dinafikan yang zaman sekarang kafe moden atau kafe ‘hipster’ kian membanjiri negara kita. Pengunjungnya juga terdiri daripada pelbagai usia – kanak-kanak, dewasa, warga emas dan remaja.
Caffe Diem merupakan salah satu daripadanya. Tetapi, Caffe Diem ini bukan sebarang kafe moden kerana ianya agak terkenal di Alor Setar. Ingin mengetahui dengan lebih lanjut?
Teruskan membaca ya!
Singgahlah di mana-mana tempat makan pun, konsep dekornya pasti memainkan peranan yang sangat penting dalam menarik perhatian pelanggan. Kalau cantik, pasti ramai yang tertarik!
Reka bentuk dalaman kafe ini menggunakan konsep ‘vintage’. Sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke sini, anda akan nampak sampan berusia lebih 90 tahun yang tergantung di silingnya. Unik dan cantik!
Selain itu, kafe ini juga pernah memenangi anugerah ‘WORLD’S BEST HERITAGE BUILDING 2019’, jelas menunjukkan yang konsep dekornya memang ‘win habis’!
Jangan terkejut kalau kami cakap yang bekas Raja Permaisuri Agong XIV Sultanah Kedah, YMM Che Puan Besar Dato’ Seri Utama Hajjah Haminah binti Hamidun pun menggemari kek di sini. Kuat betul penangan kek di kafe ini!
Kek yang dicuba merupakan kek yang paling laris di Caffe Diem iaitu kek Lemon Poppyseed. Teksturnya yang lembut dan rasanya yang masam-masam manis merupakan antara keistimewaan utama kek ini.
Selain itu, kek lain juga tidak kurang hebatnya. Anda boleh cuba Tiramisu Walnut, Durian Cheesecake dan Burnt Cheesecake. Menu berbeza namun kelazatan masih sama!
Sambil menikmati kek di sini, memang tak sah kalau anda tak cuba kopinya pula. Ada beberapa jenis kopi yang disediakan, namun Latte merupakan antara yang laku keras di sini.
Kami sarankan agar anda cuba Coconut Cream Latte mereka. Rasa masin-masin ‘coconut cream’ dan rasa kopi yang pekat merupakan gabungan rasa yang sangat mantap.
Kopi lain seperti Mocha, Americano dan Espresso juga tidak kurang hebatnya. Jika anda kurang menggemari Latte, cubalah salah satu kopi ini. Pasti sedap!
Masih menginginkan makanan berat? Jangan risau, kafe ini juga ada menyediakannya. Kebanyakannya berkonsepkan makanan Barat.
Anda boleh cuba Say Sammon dan So Seducktive. Say Sammon merupakan salmon panggang yang disajikan bersama salad manakala So Seducktive merupakan pasta yang disediakan bersama daging itik. Sedap? Semestinya!
Sudah tak sabar-sabar mahu singgah di Caffe Diem ke tu? Jika anda berpeluang ke Alor Setar, lekas terjah kafe ini sebelum menyesal ya!
Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi kafe. Singgah pada waktu yang bersesuaian kerana dikhuatiri ruang dalam restoran dan ruang parkir penuh di kemudian hari.
Alamat: 44-53, Jalan Penjara Lama, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: Setiap hari, 12 pm – 12 am
Mencari lebih banyak tempat makan ‘best’ di Alor Setar? Klik sahaja di link di bawah. Selamat menjamu selera!