Asam pedas sememangnya hidangan paling popular di negeri Melaka. Ia antara hidangan yang sering menjadi pilihan ramai tatkala berkunjung ke negeri ini. Biarpun banyak restoran yang menghidangkan hidangan asam pedas di Melaka, namun masih terdapat keistimewaan yang tersendiri.
Arham Syafiq, anak kelahiran Kedah ini memilih hidangan masakan tradisional Melayu di restorannya yang dikenali sebagai Restoran Asam Pedas Lagenda. Restoran ini menampilkan konsep ‘makan besar’ yang sangat berbeza dari restoran lain.
Kebiasaannya konsep ‘makan besar’ ini hanya dilakukan oleh masyarakat Cina terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Namun, dalam memberikan kelainan terhadap konsep yang dipertaruhkan, Arham Syafiq mengetengahkan konsep ini di kalangan masyarakat Melayu.
Biarpun restoran ini mengetengahkan konsep ‘makan besar’, ia tetap mendapat sambutan hangat dari para pelanggan. Setiap hari menjelang tengahari hingga ke malam, para pelanggan tetap berkunjung ke restoran ini bagi menjamu selera.
Restoran ini bukan sahaja menghidangkan asam pedas, namun ia turut menyediakan pelbagai jenis makanan laut segar. Pelanggan boleh memilih makanan laut untuk dimasak oleh tukang masak yang berpengalaman dan sememangnya masakan yang dihidangkan pasti tidak mengecewakan.
Kebiasannya, pelanggan akan memilih menu asam pedas ketam serta udang karang masak lemak cili padi sebagai hidangan. Ianya sangat membuka selera para pelanggan. Tambahan pula makanan laut yang disajikan di sini adalah segar – segar belaka.
Asam pedas ketam yang disajikan di sini memiliki tekstur kuah yang pekat dan kemanisan isi ketam menjadikan hidangan ini mempunyai rasa yang seimbang. Pastinya ia sedap hingga menjilat jari.
Keenakan asam pedas ini terbukti apabila setiap hari tukang masak restoran ini perlu menyediakan sehingga empat buah periuk besar bagi menyediakan hidangan asam pedas untuk pelanggan yang datang. Malah, setiap hari juga keempat – empat periuk ini akan licin dan kosong, jualan asam pedas yang sememangnya mendapat sambutan.
Hidangan udang karang masak lemak cili padi juga memang mengiurkan. Keenakannya terasa apabila kuah santannya pekat dan lemak, diiringi rasa manis isi udang. Rasanya yang tidak terlalu pedas membuatkan ia digemari ramai pelanggan Melayu, tidak kurang juga pelanggan Cina dan India. Memang puas hati apabila dapat makan bersama nasi panas dan juga ulam – ulaman.
Segala resepi yang digunakan bagi menyediakan hidangan ini merupakan resepi warisan keluarga ketua chef iaitu Mohd Nizam Yusop. Ia menampilkan rasa yang berbeza serta unik berbanding restoran lain.
Restoran ini turut menawarkan sehingga 20 jenis makanan laut segar dan sukar diperoleh di tempat lain. Antara makanan laut yang ditawarkan adalah seperti udang kara, ketam nipah, udang putih dan juga king crab.
Kesemua makanan laut ini diperoleh oleh pembekal tempatan di Melaka melainkan king crab yang diimport dari Alaska. Maka sebab itulah harga hidangan king crab agak mahal kerana diimport dari luar negara.
Oleh sebab itu restoran ini dikenali sebagai restoran ‘makan besar’ kerana hidangan yang disajikan dengan harga yang agak besar. Namun, bagi memenuhi permintaan ramai, restoran ini turut menyajikan hidangan dengan harga yang berpatutan.
Antara hidangan yang disajikan dengan harga yang berbaloi adalah set istimewa asam pedas kembung, asam pedas pari, tetel atau telur tenggiri. Ia disajikan bersama nasi putih, sambal belacan, sayur goreng dan juga telur masin. Harga satu set hidangan cumalah RM 12.90 sahaja.
Selain itu juga, hidangan lain yang boleh anda cuba adalah udang goreng tepung, ikan siakap masak berlada, kupang hitam berlada, ketam nipah masak sambal telur dan pepahat goreng cili padi. Anda boleh mencuba air minuman seperti minty poms, bandung soda cincau dan juga berry beauty yang sememangnya menyegarkan.
Pelanggan juga boleh mencuba hidangan shell-out asam pedas yang pertama di Melaka. Selain itu, anda juga boleh memilih perisa lain seperti masak berlada, sambal manis dan sambal telur mengikut pesanan pelanggan.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 11.00 pagi hingga jam 11.00 malam.
Alamat : No. 24, Jalan Lagenda 3, Taman 1 Lagenda, Melaka