Siapa sahaja yang tidak pernah terdengar tentang Hatyai? Hatyai ini merupakan bandar yang cukup terkenal di wilayah Songkhla. Jika anda pernah terdengar tentang pasar terapung, di sinilah tempatnya!
Ada pembaca di sini yang bercadang untuk ke Hatyai? Selain untuk membeli-belah, kami yakin anda pasti mahu membuat ‘food hunting’ di sini, bukan? Kami ada senarai tempat makan yang wajib anda kunjungi, jadi teruskan membaca ya!
Alamat: 93 Chee Uthit Rd, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Restoran ini tidak menghidangkan ayam goreng yang biasa-biasa. Jika anda datang ke sini, anda pasti akan terkejut dengan jumlah pelanggan yang memenuhi ruang restoran, memang ramai!
Apa yang istimewa di sini? Semestinya ayam goreng yang cukup enak dimakan bersama nasi kuningnya. Selain ayam goreng, tomyam juga mendapat sambutan yang hangat. Minuman teh tarik buih juga turut mendapat tempias yang sama.
Alamat: Hatyai, Tambon Khlong Hae, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Teringin dimsum? Tercari-cari restoran mana yang menghidangkan aneka jenis dimsum sampai pelanggannya sendiri pun rambang mata tak tahu nak pilih yang mana? Lekaslah serbu Restoran Dimsum Chabur Hatyai!
Jika kami senaraikan kesemua jenis dimsum yang dihidangkan, sampai subuh pun tidak akan habis! Namun, dimsum yang kami syorkan anda cuba ialah Prawn Dumpling, memang menjadi kegemaran ramai!
Selain dimsum, menu lain seperti pau, tomyam, somtam dan nasi goreng juga turut disediakan di sini. Kami yakin pasti ada di kalangan pembaca di sini sudah mula rambang mata, bukan?
Alamat: Thonon Chotevittayakul 5, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Teringin mencuba makanan yang berbagai jenis? Singgah sahaja di Asean Night Bazaar. Jika di Malaysia, tempat ini lebih dikenali dengan pasar malam, namun tempat ini bukan pasar malam yang biasa-biasa ya!
Ada berbagai jenis Thai street food yang dijual di sini. Jika anda pencinta makanan Thai, tidak keterlaluan jika kami katakan yang Asean Night Bazaar ini memang syurga makanan Thai!
Selain makanan, baju dan kasut yang murah-murah harganya juga turut dijual di sini. Memang bikin rambang mata!
Alamat: Prachathipat Rd, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Walaupun negara kita memang terkenal dengan menu tomyam sehinggakan hampir di setiap penjuru di setiap jalan ada sahaja warung tomyam, anda pasti teringin untuk merasai tomyam yang mengunakan resepi asli Thai, bukan?
Singgah sahaja di Salama Restaurant untuk mencuba tomyam yang terbaik rasanya dan asli resepinya! Jika di Malaysia kita ada roti canai kuah kari, di restoran ini mereka ada menyediakan Roti Canai Green Curry. Menarik bunyinya, anda wajib cuba!
Menu lain seperti nasi goreng, nasi lemak dan lauk-pauk seperti Pad Thai dan sotong goreng tepung juga turut disediakan. Jika dimakan bersama tomyam panas, sayur kailan dan nasi putih, pasti ‘kaw’!
Alamat: Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Jika anda ke Hatyai, memang rugi jika anda tidak singgah tempat unik ini – pasar terapung Hatyai atau lebih dikenali dengan nama Khlong Hae Floating Market.
Ada banyak bot yang menjual berbagai jenis makanan Thai. Dari snek, makanan berat, minuman manis, jus buah, pencuci mulut ke makanan bersup, semuanya ada. Paling unik, ada minuman yang dihidangkan dalam bekas tanah liat!
Perkara pertama yang terlintas bila sebut sahaja tentang pasar terapung ini pastu status halal untuk kebanyakan gerai di sana, bukan? Jangan risau, kebanyakan bot menjual makanan yang halal, jadi beli sahaja makanan Thai kegemaran anda tanpa rasa ragu!
Alamat: 73-75 Prachathipat Rd, ตำบล หาดใหญ่ Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Satu lagi restoran yang anda boleh singgah terutamanya jika anda ingin makan sambil bersantai bersama keluarga – Hamid Restaurant! Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan tidak cekik darah.
Kebanyakan makanan yang disediakan di sini lebih kurang sahaja seperti makanan di negara kita. Jadi jika tekak anda masih menginginkan makanan tempatan, restoran ini pasti akan menjadi pilihan yang cocok buat anda.
Menu-menu yang anda boleh cuba ialah nasi lemak, siakap stim limau, pulut mangga dan aneka nasi goreng. Minuman mereka juga tidak kurang hebatnya, segelas teh ais pasti mampu menyegarkan tekak.
Alamat: Thailand, Nipatuthit 1 Soi 1, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Walaupun anda berada di negara luar, tekak anda pasti mengidamkan makanan ruji orang kita iaitu nasi, bukan? Jika anda teringin untuk mencuba nasi kerabu yang halal di sekitar Hatyai, singgah sahaja di Tamrab Muslim Restaurant ini!
Selain nasi kerabu, nasi dagang juga turut disediakan di sini. Saiz hidangannya juga agak besar dan rasanya juga cukup lengkap terutamanya rasa pedasnya. Dijamin menyelerakan!
Alamat: 45 Thumnoonvithi Rd, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Hatyai memang kaya dengan pasar malam. Jadi, jika perut anda tiba-tiba berkeroncong pada waktu malam, anda boleh saja jalan-jalan cari makan di Hatyai Walking Street. Bukan sahaja ada makanan, malah barangan lain juga turut dijual.
Ada berbagai jenis gerai yang menjual makanan yang halal, murah dan enak. Untuk makanan, anda boleh mencuba udang gaalah goreng kunyit mereka. Harga mengikut saiz, jadi pilih sahaja yang mana berkenan di hati.
Untuk pencuci mulut pula, kami syorkan agar anda cuba aiskrim kelapa. Isi kelapanya memang manis dan tebal, aiskrimnya pula pasti mampu menyegarkan tekak.
Alamat: Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Mengidamkan roti canai untuk sarapan? Restoran Khaled ini memang terkenal dengan menu tersebut. Menu roti canai yang dicicah dengan kuah gulai ini memang menjadi kegemaran ramai.
Selain roti canai, menu lain seperti sup, nasi kerabu, tomyam dan banyak lagi makanan yang halal turut disediakan di sini. Murtabak mereka juga tidak kurang hebatnya, dijamin sedap!
Alamat: 45 Thumnoonvithi Rd, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand
Mengidamkan makanan Kelantan tapi anda berada di Hatyai? Jangan risau. Di sini, memang banyak restoran yang menghidangkan makanan Kelantan yang semestinya halal dan enak. Salah satunya ialah Kelantan Restaurant.
Dibuka seawal jam 7 pagi, menurut ramai pelanggan di sini restoran ini cukup cocok dijadikan sebagai port ‘sarapan’. Sebelum anda mula berjalan-jalan di Hatyai, alang-alang isi sahaja perut di sini dengan menu yang dihidangkan.
Sebenarnya banyak lagi tempat makan menarik yang boleh anda lawati di Hatyai ini. Tidak keterlaluan jika kami katakan yang Hatyai memang syurga makanan kerana terlalu banyak restoran, warung dan pasar yang menghidangkan makanan yang enak dan murah!
Kami yakin perut anda pasti sudah mula berkeroncong memikirkan keenakan makanan Thai di Hatyai, bukan? Jangan lepaskan peluang ini dan singgah sahaja di tempat-tempat yang kami senaraikan ini. Selamat menjamu selera!