Medan, Indonesia kaya dengan pelbagai budaya yang tersendiri. Terdahulu, pelbagai masyarakat berbilang etnik datang ke Medan untuk berniaga. Akhirnya, Medan dijadikan tempat tinggal masyarakat luar yang datang ke sini.

Oleh sebab itu, kehadiran ramai orang telah menghasilkan pelbagai makanan yang mempunyai berbagai pengaruh. Maka tidak hairanlah anda boleh menikmati hidangan masakan Melayu, Cina, Jawa, Minang, India dan banyak lagi.

Bagi anda yang merancang untuk bercuti di Medan, berikut merupakan tempat makan halal yang boleh dijadikan panduan. Selamat bercuti dan menjamu selera di Medan, Indonesia.

#1. Titi Bobrok

Titi Bobrok menyajikan hidangan mee pedas di Aceh. Ia menawarkan hidangan mee dengan pilihan daging lembu, ayam mahupun makanan laut. Kedai makan ini sering dikunjungi pelanggan kerana hidangannya yang begitu beraroma serta cukup mengliurkan.

Mie Acheh

Imej via kejayaancasinoonline

Maka tidak hairanlah restoran ini sering dikunjungi ramai kerana kepopularannya yang begitu terserlah di Medan. Anda boleh memilih sama ada mee goreng ataupun mee rebus sebagai hidangan tambahan. Restoran ini bukan sahaja popular di kalangan penduduk tempatan, malah turut terkenal di kalangan pelancong luar.

Mie Acheh

Imej via podjanlg

Terdapat 3 jenis mee Aceh yang dihidangkan iaitu berkuah, goreng, dan basah. Biarpun memiliki 3 jenis masakan berbeza, namun rasa mee nya tetap sedap dan tidak mengecewakan. Kepedasan yang terhasil dari campuran rempah ratus Aceh sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam kecuali hari Jumaat.

Alamat : Jl. Setia Budi No. 17C

#2. Rumah Makan Sipirok Sup Sumsum Sapi

Sekiranya anda berada di Medan dan berkunjung ke Rumah Makan Sipirok, jangan lupa untuk mencuba sup sumsum tulang yang semestinya terbaik di sini. Sup ini begitu lazat dan anda perlu rasai sendiri keenakan sumsum tulang itu.

Sum Sum Tulang

Imej via taufik-tobar

Hidangan supnya begitu menyelerakan dan menyegarkan, terasa begitu sempurna tatkala dinikmati. Anda juga boleh mencuba sup tulang rusuk yang tidak kurang hebat rasanya. Pastinya anda akan memesan untuk kali kedua selepas merasainya.

Sum Sum Tulang

Imej via foodspotting

Selain sup daging, sup sumsum tulang, terdapat juga daging bakar sambal pedas, daun ubi tumbuk, ikan teri, gulai ikan sale, asam pedas ikan, udang kecepe sambal serta tumis bunga betik. Kebiasaannya seawal jam 11.00 pagi sudah ramai memenuhi ruang restoran ini untuk menikmati hidangan yang disediakan.

Alamat : No. 14, Jalan Sunggal, Medan

#3. Mie Balap Wahidin

Mie Balap ini hidangannya ringkas dan cukup mudah disediakan. Ia mendapat nama kerana penyediaannya yang begitu cepat dengan ketangkasan si tukang masak. Ia dihidangkan di atas daun pisang yang memberikan aroma yang begitu menyelerakan.

Mee Balap

Imej via blogridsal

Hidangan mee ini akan disirami dengan kuah cili dan dimakan menggunakan penyepit. Kuah cili ini yang menimbulkan rasa hidangan yang begitu mempesonakan. Mie Balap ini turut dihidangkan bersama telur, ayam, seafood, daun sawi, daun bawang, tauge dan macam – macam lagi mengikut pesanan pelanggan.

Mee Balap

Imej via steemit

Keunikan hidangan di sini adalah masakan yang disediakan menggunakan dapur kayu arang. Ini menjadikan aroma hidangan di sini lebih menggamit hati pelanggan untuk menjamu selera.

Alamat : Jalan Gajah No.111, Pandau Hulu II, Medan Area, Kota Medan, Sumatera Utara 20233, Indonesia

#4. Rumah Makan Sinar Pagi

Restoran ini telah pun wujud sejak tahun 1962 lagi. Ia terkenal dengan hidangan sup tradisional Indonesia iaitu Soto Medan. Seawal jam 7.00 pagi sudah ramai pelanggan membuat pesanan untuk makan pagi.

Sup Soto

Imej via pesenmakan

Soto Medan atau Soto Sinar Pagi sememangnya cukup popular di sini. Ini kerana rasanya yang begitu memukau tiap kali menikmatinya. Ia memiliki rasa yang tersendiri dan sukar digambarkan, makanya anda perlu mencubanya sendiri.

Soto

Imej via adiknakemal

Soto yang disediakan di sini memiliki pilihan yang berbeza seperti soto daging, bebola daging mahupun ayam. Ia turut dihidangkan bersama nasi panas untuk dimakan bersama – sama.

Kuahnya pula sedikit geruh kerana campuran santan yang memberikan rasa begitu berbeza namun memiliki keenakannya yang tersendiri. Soto ini lebih enak jika dimakan bersama potongan cili padi yang memberikan rasa yang lebih menggemparkan.

Alamat : Jl. Sei Deli No. 2D

#5. Kede Bubur Medan

Bagi anda yang ingin mencuba hidangan bubur nasi di Medan, cubalah datang ke Kede Bubur Medan. Kedainya cukup ringkas, namun telah beroperasi sejak tahun 1949 lagi.

Bubur Nasi

Imej via facebook

Bubur nasi di sini boleh dimakan bersama isi ikan, ketam, udang. Yang paling istimewa adalah bubur ayam bersama telur pitan yang sememangnya menjadi pilihan ramai.

Bubur Nasi

Imej via facebook

Alamat : Jl. Mangkubumi 16

#6. Rujak Kolam

Rujak atau rojak merupakan hidangan salad buah – buahan tropika segar yang dihidang bersama kuah rojak. Ia diperbuat daripada campuran cili, kacang tanah dan kicap.

Rojak

Imej via facebook

Keunikan Rujak Kolam di sini adalah penambahan pisang batu atau turut dikenali sebagai kluthuk. Pisang batu ini merupakan spesies pisang liar yang mengandungi banyak biji menyerupai batu – batu kecil.

Rojak Buah

Imej via facebook

Kedudukan lokasi Rujak Kolam ini yang terletak berhampiran kolam renang memberikan ilham kepada pemilik kedai ini untuk menamakannya Rujak Kolam.

Alamat : Jl. Mahkamah No.98-96, Mesjid, Medan Kota, Kota Medan, Sumatera Utara 20214, Indonesia

#7. Wajir Seafood

 Pernah kah anda mencuba hidangan belut goreng cili sebagai menu santapan ? Jika anda berani mencuba, silakan mencuba hidangan istimewa belut goreng cili hijau di Wajir Seafood, Medan ini.

Sup

Imej via facebook

Suasana restoran ini cukup menenangkan tambahan pula ia terletak di lokasi yang cukup mendamaikan. Wajir Seafood menyajikan pelbagai makanan laut segar buat para pelanggan.

Belut Goreng

Imej via facebook

Pada sebelah malam, restoran ini seperti mengadakan pesta kerana ia akan dipenuhi oleh pelanggan yang begitu ramai. Hidangan belut goreng cili hijau merupakan hidangan yang begitu mendapat perhatian ramai. Selain itu, anda juga boleh mencuba ikan siakap kukus, kerapu bakar serta ketam kulit lembut.

Restoran ini dibuka mulai jam 4.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.

 Alamat : Jl. Kol. Sugiono No.31, A U R, Medan Maimun, Kota Medan, Sumatera Utara 20212, Indonesia

#8. Telur, Roti dan Kopi – Kedai Apek

Kedai Apek ini telah dibuka sejak tahun 1922 lagi. Ia telah diwarisi turun temurun dan terkenal dengan kopi Sidikalang yang dihidang bersama roti bakar dan telur yang lembut.

Kopi dan Roti Bakar

Imej via facebook

Restoran ini dijadikan tempat untuk penduduk tempatan berkumpul serta saling bertanya khabar berita sambil menghirup secawan kopi serta menikmati makanan ringan. Selain kopi dan roti bakar, anda juga boleh mencuba mee gorengnya yang cukup enak.

Mee gorengnya sedikit basah digoreng dengan telur ayam ataupun itik. Seawal jam 11.00 pagi hidangan mee goreng akan kehabisan. Anda digalakkan datang awal jika ingin mencubanya.

Kueteow

Imej via facebook

Murtabak telur bersama kari tidak kurang hebatnya di sini. Pada setiap hari Jumaat pula, anda boleh mencuba nasi beriyani yang dihidangkan. Ternyata cukup menyelerakan serta mengenyangkan perut anda.

Kedai Apek ini dibuka setiap hari mulai jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.

Alamat : Jl. Hindu No.110, Kesawan, Medan Bar., Kota Medan, Sumatera Utara 20231

#9. Teh Susu Telur – TST Pak Haji

Sekiranya anda sudah pun kepenatan bersiar di sekitar bandar Medan, singgah dahulu di Teh Susu Telur (TST) Pak Haji. Anda boleh mencuba air campuran teh, susu dan juga telur mentah yang pastinya memberikan pengalaman baru.

Teh Susu Telur

Imej via facebook

Tatkala berada di kedai ini, anda akan dapat melihat ramai pelanggan yang menikmati minuman ini terdiri dari pelbagai peringkat umur. Ada juga yang sekadar datang untuk berjumpa teman – teman di waktu malam sambil menikmati TST di sini.

Teh Susu Telur

Imej via rahmadceria

Biasanya pemilik restoran ini mampu memecahkan sehingga 100 biji telur mentah setiap malam untuk menyiapkan pesanan TST pelanggan. Bilangan ini akan bertambah menjelang hujung minggu di mana pelanggan lebih ramai datang ke sini.

Warung ini mula beroperasi pada jam 5.00 petang hingga jam 12.00 pagi setiap hari.

Alamat : Jl. Puri, Kota Matsum IV, Medan Area, Kota Medan, Sumatera Utara 20211, Indonesia

#10. Restoran Pohon Pisang

Restoran Pohon Pisang menyediakan pelbagai jenis menu masakan dari Nusantara. Bagi anda yang datang bersama keluarga, hidangan ini cukup bersesuaian.

Setiap hidangan yang tersaji di sini menggunakan daun pisang atau daun pandan sebagai alas hidangan. Maka, tidak hairanlah restoran ini dikenali sebagai Restoran Pohon Pisang.

Ayam Goreng

Imej via wisatatempat

Menu istimewa di restoran ini adalah Ayam Tangkap yang merupakan hidangan istimewa orang Acheh. Biasanya ia disajikan menggunakan daun pandan dan daun kari yang banyak sekali hingga menutupi ayam yang digoreng bersama perapan serta rempah khas.

Gulai Ikan

Imej via deskgram

Restoran ini menyediakan ruang makan yang berpendingin udara, bersih, luas, serta serta nyaman sekali. Warna dinding restoran juga menonjolkan tema pisang iaitu kuning kehijauan.

Setiap hari restoran ini dibuka mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 malam.

Alamat : Jalan S. Parman Komplek The Crown Blok A No. 16-17 Medan

#11. Restoran Koki Sunda

Restoran Koki Sunda antara restoran yang sering mendapat perhatian pelanggan. Ini kerana kedudukan lokasi restoran yang sangat strategik serta bersesuaian memudahkan pelanggan untuk berkunjung ke sini.

Kopi

Imej via facebook

Restoran ini menyediakan menu yang bervariasi untuk pilihan pelanggan. Anda boleh mencuba masakan Sunda, Nusantara serta menu khas dari Thailand. Bagi anda yang datang secara berkumpulan, anda boleh memilih tempat makan secara bersila atau makan di meja serta kerusi yang disediakan.

Udang Goreng

Imej via facebook

Bagi hidangan nasi pula, anda boleh mencuba pelbagai jenis sambal yang tersedia di sini. Rasanya cukup menyelerakan. Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam.

Alamat : Jalan Hasanuddin No. 1 Medan

#12. Restoran Tip Top

Restoran Tip Top ini dahulunya dikenali sebagai Restoran Jangkie di Jalan Pandu telah wujud sejak tahun 1929. Ia kemudian berpindah ke Jalan Kesawan pada tahun 1934 dan diberi nama baru iaitu Restoran Tip Top.

Roti Bakar

Imej via facebook

Sehingga ke hari ini, struktur bangunan restoran masih dikekalkan terutama bagi dekorasi dalaman bangunan yang menonjolkan gaya Eropah. Dekorasi ini belum menerima sebarang perubahan sehingga sekarang. Keunikan inilah yang membuat ramai pelanggan berkunjung untuk menjamu selera dengan suasana di zaman penjajahan Belanda.

Dessert

Imej via ksmtour

Anda boleh mencuba hidangan khas Indonesia seperti rendang, kari ikan, ikan goreng, sayur – sayuran dan banyak lagi. Selain itu, terdapat pelbagai jenis kuih yang menggunakan oven batu untuk membakarnya.

Restoran ini menyediakan ruang makan non – smoking serta smoking area untuk pelanggan yang merokok. Terdapat juga outdoor lounge disediakan buat para pelanggan.

Bagi anda yang ingin menjamu selera  di sini, boleh datang setiap hari mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam.

Alamat : Jalan Ahmad Yani No. 92 A – B Medan

#13. Sate Memeng

Salah satu menu yang cukup terkenal sejak dahulu lagi di Medan ini adalah Sate Memeng. Ia sama seperti hidangan sate yang lain, turut mempunyai pilihan samada ayam, daging, perut, hati mahupun kambing. Namun, bahan perapannya agak berbeza.

Sate

Imej via liputan-medan

Warung ini sering mendapat kunjungan ramai pelanggan. Biarpun ruangnya agak sempit, namun itu bukan satu isu besar bagi pelanggan yang  menjamu selera di sini.

Sate

Imej via id.openrice

Pilihan sambal juga ada pelbagai pilihan samada sambal kacang, kicap atau pun sambal padang. Saiz daging juga agak besar dan pastinya memuaskan hati.

Kedai ini dibuka setiap hari mulai jam 6.00 petang hingga 1.00 pagi. Harganya juga cukup berpatutan.

Alamat : Jalan Irian Barat, No 2, Gang Buntu, Kota Medan

#14. Ayam Pepes

Bagi anda yang sedang berdiet serta sangat menjaga pemakanan biarpun di saat bercuti, anda boleh berkunjung ke Rumah Makan Ayam Pepes Medan. Ia menyediakan hidangan ayam pepes yang begitu enak. Selain ayam, terdapat udang pepes, sotong pepes, pepes daging, pepes tongkol dan banyak lagi.

Ayam Pepes

Imej via facebook

Resepi menghasilkan pepes ini telah diturunkan sejak turun temurun dari generasi lama ke generasi baru. Oleh sebab itu, rasa yang sama masih dapat dikekalkan sehingga sekarang. Bahan – bahan yang digunakan juga adalah bahan mentah yang segar bagi menjamin rasa yang enak. Biarpun menggunakan bahan – bahan yang segar, namun harganya sangat berpatutan.

Ayam Pepes

Imej via facebook

Jika anda ingin menyantap hidangan tanpa digoreng dengan minyak namun tetap enak, Ayam Pepes Medan tempatnya. Selain Ayam Pepes, tempat ini juga menyajikan ikan pepes, udang pepes, cumi pepes, dan pepes teri, pepes tongkol dan pepes daging.

Alamat : Kompleks Setia Budi, Jl. Perjuangan Blok PP No.6, Medan Sunggal, Kota Medan, Sumatera Utara

KESIMPULAN

Pastinya percutian anda di Medan cukup bermakna. Tambahan pula selain dapat melawati tempat – tempat menarik serta membeli belah di Medan, anda juga boleh menikmati pelbagai hidangan menarik. Begitu banyak pilihan makanan halal yang anda boleh nikmati tanpa ragu di sini.

Makanan yang disediakan adalah halal dan pastinya sedap serta menepati selera anda. Harganya pula sangat berpatutan dan pastinya anda ingin berkunjung semula ke Medan, Indonesia pada masa akan datang.

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.