Sembang Spontan Kafe dimiliki oleh Ahmad Shafique Abdullah dan terletak di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, Kuala Lumpur. Kafe ini mengkhususkan hidangan masakan Melayu sahaja. Bagi peminat – peminat hidangan masakan melayu, bolehlah datang ke Sembang Spontan Kafe ini.

Kesukaran mendapat rempah ratus asli bukanlah satu alasan untuk tidak meneruskan legasi masakan Melayu buat masyarakat ibukota. Hidangan masakan Melayu merupakan kegemaran ramai tidak mengira bangsa. Ini menunjukkan hidangan masakan Melayu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Biarpun pada masa kini, hidangan –  hidangan seperti sambal hitam, asam pedas tetel dan juga masak lemak daging salai agak sukar didapati, namun kafe ini menyediakan hidangan tersebut buat para pelanggannya.

Udang Goreng Butter

Imej via facebook

Pemilik kafe ini pada awalnya terbabit dengan perkhidmatan katering dan juga sering memberikan perkhidmatannya kepada syarikat produksi seperti Astro. Setelah lama berkecimpung dalam dunia katering, akhirnya Ahmad Shafique membuat keputusan untuk membuka sebuah kafe setelah merasa agak yakin dengan kemampuannya.

50 Jenis Lauk Pauk Masakan Melayu

Setiap hari kafe ini menyediakan sebanyak 50 jenis lauk pauk masakan Melayu. Hampir 50 peratus menu hidangan akan bertukar setiap hari. Kebanyakan pelanggan yang datang menjamu selera di sini merupakan pelanggan tetap yang sudah sebati dengan menu hidangan yang disajikan.

Antara hidangan yang disajikan adalah sup tulang, sambal hitam kentang, masak lemak serai, asam pedas. Ikan goreng masam manis serta pelbagai jenis sambal yang dimakan bersama ulaman juga turut disediakan.

Harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan adalah sangat berpatutan. Bagi sepinggan nasi bersama lauk pauk asas cumalah RM 6.50 sepinggan. Harga sup pula hanya RM 8.00, manakala untuk lauk seperti ayam dicaj sebanyak RM 4.00 hingga RM 4.50 sahaja.

Sup Tulang

Imej via facebook

Setiap hidangan di kafe ini dimasak sendiri oleh isteri Ahmad Shafique iaitu Rosnah Yunus. Kafe ini turut menyediakan masakan panas menjelang petang hingga ke malam.

Menu yang boleh anda cuba adalah mee dan kuetiaw goreng, nasi goreng dan yang paling istimewa adalah nasi goreng Sembang dan makanan laut serta roti dholl kari kambing yang tiada tandingannya.

Kafe ini pada asalnya diberi gelaran Sembang – Sembang. Namun, produser Afdlin Shauki yang juga merupakan rakannya mencadangkan untuk menamakan kafe ini dengan nama Sembang Spontan. Ia mengambil salah satu nama program popular yang disiarkan di Astro.

Nama kafe ini juga sinonim dengan perkhidmatan membekal makanan yang dilakukan oleh Sembang Spontan kepada syarikat produksi Astro yang dikendalikan oleh Afdlin. Bukan sahaja untuk rancangan super Spontan, malah filem Papadom, rancangan Karoot Komedia dan juga Master Chef di Astro.

Roti Doll Kari Kambing

Imej via facebook

Bagi mengekalkan rasa serta keenakan yang sama bagi hidangan yang disediakan, Ahmad Shafique turut menyediakan pes makanan untuk asam pedas. Selain asam pedas, daging masak hitam, masak lemak serai dan juga sambal hitam. Kafe ini dibuka setiap hari mulai jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

Alamat : Lot 1, AAB, Menara B, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, 55110 Pandan Indah, Kuala Lumpur 

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.