Mencari tempat makan sate terbaik di Dengkil KL?
Kami yakin ramai yang menggemari sate dan selalu berlaku debat-debat kecil peminat sate akan sate mana yang terbaik bagi mereka. Setiap peminat sate pasti mempunyai ciri-ciri sate yang best bagi mereka.
Pada kami pula, ciri-ciri sate terbaik adalah sate yang penuh dengan perisa rempah ratus, isi daging yang tidak kedekut dan paling penting dimasak dengan sempurna!
Selain daripada itu, kuah kacang menjadi antara faktor utama yang dinilai oleh peminat sate tegar. Iyalah, mana mungkin sempurna tanpa kuah kacang yang sedap kan? Satu set sate yang lengkap pastinya diiringi dengan nasi himpit serta potongan timun dan bawang.
Carian sate terbaik ini telah membuatkan kami ke Dengkil hujung minggu lepas setelah disyorkan oleh rakan-rakan. Pada mulanya, agak sukar untuk kami mencari Sate Azri Dengkil kerana tidak biasa dengan kawasan di Dengkil sehinggalah kami berjumpa dengan Masjid Dengkil.
Sate Azri Dengkil terletak berhampiran Masjid Dengkil, lebih kurang 7 minit memandu. Jika anda terlihat Speedmart 99, maka pasti anda akan terjumpa dengan Sate Azri Dengkil.
Sate Azri Dengkil dibuka bermula daripada jam 6 petang sehingga 11 malam ataupun sehingga habis. Tibanya kami disana, sudah beratur peminat sate membuat pesanan samada untuk dibawa pulang atau makan disana.
Mesti sedap ni, kalau tak sedap tak mungkin orang beratur membuat pesanan! Sebagai permulaan, kami memesan 10 cucuk sate daging lembu dan 10 cucuk sate daging ayam. Dan seperti biasa, tak lengkap kalau tak pesan nasi himpit sekali! Cukuplah kan untuk makan bertiga!
Sepuluh minit kemudian kami menerima pesanan kami. Sate yang panas, tebal serta bau aroma yang seolah-olah menyuruh kami untuk terus melahap secepat mungkin. Saya terus mencapai secucuk sate daging lembu dan terus dipkan kuah kacang.
Hmmmm… saya boleh katakan memang LAZAT Sate Azri Dengkil! Saya dapat rasakan rempah ratus yang diperap bersama daging dan masakannya bagi saya amat sempurna. Kuah kacang juga sangat enak, tidak terlalu cair atau tidak terlalu kasar atau halus kacang tanahnya.
Nah, sekarang anda sudah tahu satu lagi hotspot sate di Dengkil. Tunggu apa lagi, suruh rakan-rakan anda belanja sate di sini!