Sebut sahaja tentang makanan yang terkenal di negeri Johor, makanan tradisional apakah yang terlintas di minda anda? Kacang pool? Laksa Johor? Pasti perut anda mula berkeroncong bila anda terbayangkan Mi Bandung sekali, bukan?

Mi Bandung merupakan salah sebuah makanan tradisional negeri Johor yang cukup popular. Bukan sahaja di negeri Johor malah di seantero Malaysia, tidak dinafikan menu ini cukup digilai ramai!

Bagi yang merancang untuk berkunjung ke negeri Johor, adakah anda masih tercari-cari restoran atau warung manakah yang patut anda singgah untuk mencuba Mi Bandung resepi asli negeri Johor? Senarai restoran ini pasti akan membantu anda!

#1 Warung Mee Bandung Pak Abu

Penduduk sekitar Senai pasti sudah terbiasa dengan warung ini, bukan? Terkenal dengan hidangan Mi Bandung Udang dan Nasi Goreng Udang, harga untuk hidangan istimewa di sini juga sangat berpatutan dengan kualitinya!

Mi Bandung @ Warung Mee Bandung Pak Abu

Imej via Foursquare

Mi Bandung Udang di sini sememangnya bikin ramai pengunjung yang merasainya ketagih. Saiz udang yang dihidangkan memang cukup besar, dan ianya juga dihidangkan dalam kuantiti yang agak banyak.

Kuah Mi Bandung Udang ini juga apa kurangnya. Pekat dan rasa lemak-lemak manis dan tidak terlalu pedas menjadi kunci utama menu ini begitu digemari ramai. Walaupun mengenyangkan, kami yakin sepinggan pasti tidak mencukupi buat anda!

Alamat: 30, Jalan Berkat 2, Kampung Jaya Sepakat, 81400 Senai, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Sabtu, bermula dari jam 8 pagi hingga 9:30 malam

#2 Mee Bandung Muar

Mee Bandung Muar

Imej via Foursquare

Restoran yang terletak di Tanjung Agas, Muar ini juga cukup terkenal di kawasan ini. Bukan sahaja terkenal dengan rasanya yang sedap dan asli, malah harganya juga sangat murah!

Mi Bandung@ Mee Bandung Muar

Imej via Foursquare

Walaupun harganya murah, namun saiz hidangannya tidak kecil. Semangkuk sahaja sudah cukup untuk menjamin kekenyangan untuk perut yang sudah puas berkeroncong. Cukup enak dikenakan bersama sirap bandung semasa cuaca panas!

Jika anda berhasrat untuk mengunjungi restoran Mee Bandung Muar, anda digalakkan untuk datang lebih awal kerana selalunya, awal-awal pagi lagi sudah ramai pelanggan yang menyerbu restoran ini, dek kerana keenakan Mi Bandung yang tidak terhingga!

Alamat: Jalan Tg. Agas, Muar, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 10 pagi hingga 4 pagi

#3 Mee Bandung Abu Bakar Hanifah

Nama restoran ini pasti tidak asing lagi buat penduduk Muar. Bukan sahaja yang menetap di Muar, malah kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri juga pasti tahu tentang kewujudan restoran yang terkenal sejak tahun 1930-an lagi!

Mi Bandung @ Mee Bandung Abu Bakar Hanifah

Imej via Foursquare

Yang menjadikan Mi Bandung Special di restoran ini begitu istimewa dan digilai ialah kuahnya yang pekat. Rasanya juga seimbang, tidak terlalu pedas dan tidak terlalu manis. Cukup enak dikenakan bersama kopi panas!

Mi Bandung Special ini merupakan hidangan Mi Bandung yang menyajikan telur, sayur, daging lembu dan udang yang dicincang halus bersama kuah yang pekat. Harganya ialah RM 5 sahaja, sangat berbaloi dengan kualitinya!

Alamat: Jalan Abdullah, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7 pagi hingga 4 petang

#4 Mee Bandung Hjh Milah Muar

Orang Muar pasti sudah terdengar tentang gerai ini bukan? Terletak di Tanjung Agas, daerah yang cukup terkenal dengan restoran-restoran yang menyajikan Mi Bandung asli Muar, gerai Mee Bandung Hjh Milah ini juga turut terkenal di situ.

Mi Bandung @ Mee Bandung Hjh Milah

Imej via Foursquare

Mi Bandung yang disajikan di gerai ini cukup beraneka. Namakan sahaja Mi Bandung yang terlintas di minda, semuanya ada! Antara Mi Bandung yang cukup laris di sini ialah Mi Bandung Daging, Mi Bandung Ayam dan Mi Bandung Sotong!

Antara keistimewaan Mi Bandung di gerai Mee Bandung Hjh Milah ini ialah kuahnya yang pekat dan banyak. Walaupun kuahnya banyak, kami yakin anda pasti mampu menghabiskan semangkuk Mi Bandung ini, siap hirup kuahnya dek kerana rasanya yang cukup ‘padu’!

Alamat: Gerai No 8,Medan Selera Tanjung Agas,KM 1, Kampung Tanjung Agas, 84000 Muar, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari 10 pagi hingga 1 pagi (Jumaat bermula dari jam 4 petang hingga 1 pagi)

#5 Mee Bandung Udang Galah Muo Ori

Bagi peminat tegar Mi Bandung Udang Galah, kami yakin restoran ini patut termasuk dalam senarai ‘Restoran Wajib Serbu’ jika anda berkunjung ke Muar, Johor!

Mi Bandung Udang Galah @ Mee Bandung Udang Galah Muo Ori

Imej via Foursquare

Restoran Mee Bandung Udang Galah Muo Ori ini merupakan antara restoran yang cukup terkenal di Muar. Saiz udang galah yang besar dan kuantiti udang galah yang disajikan juga cukup banyak. Tambahan pula, kesemuanya segar-segar belaka!

Kuah Mi Bandung yang pekat, kuantiti yang banyak dan harganya yang berpatutan menjadi punca utama Mi Bandung Udang Galah di sini cukup digemari ramai. Selain itu, Mi Bandung biasa juga turut dihidangkan, memang menarik!

Alamat: Jalan Kesang, 84000 Muar, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat, bermula dari jam 9:15 pagi hingga 11 malam

Banyak betul restoran dan warung yang menyajikan Mi Bandung yang resepinya asli dan terbaik di negeri Johor ini!  Ini baharu sahaja sedikit yang kami senaraikan, belum kesemuanya lagi!

Kami yakin pasti anda sudah mula kecur air liur membayangkan Mi Bandung yang pekat kuahnya dan berbagai lauknya ini, bukan? Sudahlah enak, harganya juga sangat berpatutan!

Bagi yang sudah mula mengidamkan Mi Bandung, cepat-cepatlah terjah restoran dan warung yang kami senaraikan ini sebelum terlepas peluang ya!

Anda juga digalakkan untuk datang awal kerana dikhuatiri tempat parkir dan ruang dalam restoran sudah dipenuhi pelanggan. Selamat menikmati Mi Bandung resepi asli yang terbaik di negeri Johor!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.