Nama restoran pun sudah menunjukkan ianya sebuah restoran yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Restoran Asam Pedas Muar Istimewa ini yang terletak di Taman Danau Kota, Setapak menyajikan hidangan asam pedas Muar dengan resepi yang tersendiri.

Menggunakan slogan ‘Amat Sedap, Amat Mantap’ telah menggamit ramai pelanggan yang terdiri daripada orang tempatan dan juga pelancong dari luar terutamanya dari negara jiran.

Keistimewaan Asam Pedas Di Sini

Restoran ini menyajikan hidangan asam pedas buat para pengunjungnya. Istimewanya di sini, restoran ini menyediakan sehingga 10 jenis asam pedas yang berlainan.

Asam Pedas Pari

Imej via facebook

Asam pedas yang disediakan terdiri daripada ikan laut yang segar – segar sahaja iaitu ikan siakap, pari, parang, senangin, merah, tenggiri, terubuk, sembilang dan mayong. Selain asam pedas ikan, terdapat juga asam pedas daging lembu yang juga  mendapat permintaan ramai.

Sememangnya para pelanggan yang datang buat pertama kali ke restoran ini sukar membuat pilihan untuk memilih hidangan asam pedas yang terdapat di sini. Sebaiknya, buatlah pilihan yang terbaik untuk dijadikan santapan.

Pelanggan dari Kedutaan

Pemilik dan pengusaha restoran ini merupakan seorang ibu kepada empat orang anak, Salmiah Osman telah mempelajari masakan asam pedas ini daripada ibu serta kakak iparnya yang sememangnya handal dalam menyediakan asam pedas. Keenakan asam pedas yang disediakan sendiri olehnya telah menyebabkann ramai pengunjung yang terdiri daripada kakitangan serta pegawai dari kedutaan Singapura, Indonesia dan Brunei sering menjamu selera di sini.

Asam Pedas

Imej via facebook

Setiap pesanan yang dibuat oleh pelanggan akan disediakan sendiri oleh pemilik restoran ini sejurus pesanan diterima. Ini kerana Salmah, ingin memberikan hasil yang terbaik buat para pelanggannya. Dalam tempoh 10 minit sahaja hidangan yang dipesan akan tersedia.

Hidangan Pedas Tetapi Tetap Sedap

Hidangan asam pedas yang disajikan di sini agak pedas. Jika pelanggan yang tidak tahan makan pedas, maka berpeluh – peluh ketika menikmatinya.

Walaubagaimanapun, ramai pelanggan memberi feedback tentang kepedasan asam pedas yang disediakan, di mana biarpun pedas, ia tetap sedap. Hidangan yang dipesan disajikan bersama sambal belacan, ulam – ulaman seperti kacang botol, timun, ikan masin dan juga segelas air sirap.

Menu Lain Selain Asam Pedas

Terdapat menu lain yang disediakan selain asam pedas. Anda boleh mencuba hidangan kari yang disediakan di sini. Antara hidangan kari yang disediakan adalah kari kepala ikan merah, siakap dan tenggiri.

Nasi Goreng APM Istimewa

Imej via facebook

Selain hidangan kari, ada juga menu lain yang boleh dimakan bersama nasi putih iaitu taugeh goreng dan juga telur dadar. Bagi anda yang mahukan hidangan selain asam pedas, anda bolehlah mencuba nasi goreng APM istimewa, mee bandung sotong atau mee bandung udang galah yang dihasilkan menggunakan resepi asli mee bandung Muar.

Sebagai penutup santapan, anda boleh mencuba lempeng kelapa yang sememangnya sedap dan menyelerakan. Restoran ini dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat, mulai jam 11.00 pagi hingga jam 10.00 malam.

Alamat: G19, PV12, Platinum Lake Condo, Jalan Langkawi, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.