Neighbour’s Coffee Bar – nama kafe ini kian viral di media sosial kebelakangan ini.
Terletak di bandaraya Kuala Lumpur, ianya merupakan sebuah kafe moden atau lebih dikenali dengan jolokan kafe ‘hipster’. Kafe ini menyediakan makanan yang berkonsepkan hidangan Barat kebanyakannya.
Namun, ada satu hidangan yang membuatkan Neighbour’s Coffee Bar menjadi sebutan ramai di media sosial baru-baru ini. Tertanya-tanya apa yang menarik di sini? Teruskan membaca!
Inilah dia menu yang merupakan antara yang terlaris di kafe ini – Japanese Fuwa Fuwa Pancake. Wah, namanya pun dah comel. Pasti hidangannya secomel namanya!
Hidangan ini merupakan sejenis penkek soufflé. Beza penkek soufflé dengan yang biasa ialah ianya lebih gebu dan tebal dek kerana pengasingan telur putih dan kuning untuk pembuatannya.
Gambar tidak menipu ya, penkek ini sememangnya segebu ini. Sebaik sahaja anda mengunyahnya, kelembutan penkeknya kian terasa. Ada beberapa jenis yang boleh anda cuba, pilih sahaja yang mana-mana.
Antaranya ialah Fuwa Fuwa Pancake with Soft Swerve dan Fuwa Fuwa Pancake with Seasonal Fruits. Berbeza dari segi ‘topping’ namun kegebuannya masih sama.
Panas di sini bukan bermaksud kek keju ini terlalu panas. Ianya bermaksud yang Basque Burnt Cheesecake ini merupakan antara kek yang paling laris di kafe ini.
Hidangan ini juga merupakan antara hidangan yang dikatakan menjadi ‘trend’ di media sosial. Pergi sahaja mana-mana kafe, semuanya ada menu ini.
Di kafe ini, kek ini dipuji ramai dek kerana teksturnya yang sangat lembut dan rasanya yang lazat. Kek keju ini berkrim dan tidak memuakkan. Malah, ianya mengenyangkan!
Kopi yang enak semestinya mampu membangkitkan ‘mood’ sesiapa sahaja. Tambahan pula jika dinikmati semasa sarapan, pasti semangat untuk bekerja berkobar-kobar, bukan?
Kopi di kafe ini juga merupakan antara menu yang laku keras. Antara yang anda boleh cuba ialah Espresso, Mocha, Black Coffe & White Coffee. Pekat namun tidak terlalu pahit, memang sedap!
Kurang menggemari pencuci mulut? Tidak mengapa, cubalah Breakfast Plate yang sangat digemari ramai. Ada macam-macam yang disajikan seperti telur hancur, sosej panggang, ‘chicken ham’ dan sayur-sayuran.
Kafe ini juga turut menyediakan aneka jenis pasta. Antara yang anda boleh cuba ialah Pesto Genovese. Sedap, mengenyangkan dan menyihatkan!
Kami yakin anda pasti tak sabar-sabar mahu mencuba hidangan-hidangan yang menarik di sini. Tambahan pula jika anda mempunyai ‘sweet tooth’, pasti kecur air liur melihat gambarnya!
Jangan berlengah-lengah lagi, lekas sahaja singgah jika berpeluang. Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi kafe ini:
Alamat: A-G-1, Seri Gembira Avenue, No 6, Jalan Senang Ria, Happy Garden, 58200 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap hari, Isnin – Khamis (9am – 6 pm) manakala Jumaat – Ahad (9 am – 11 pm)
Jika anda mencari lebih banyak tempat makan menarik di KL, klik sahaja di link di bawah. Selamat menjamu selera!
31 Tempat Makan Best Di KL