Negara Thailand bukan sahaja terkenal dengan pusat pelancongan yang menarik, namun turut diakui keenakan masakan yang dimiliki oleh rakyat negeri Gajah Putih ini. Pelbagai makanan tradisi yang boleh anda nikmati jika berada di Thailand. Malahan penyediaannya juga menggunakan cara khas masyarakat tempatan.
Masakan Thailand memiliki ciri – ciri yang begitu kaya dengan rasa aslinya. Ia memiliki rasa yang begitu seimbang, antara rasa pedas, manis, masin dan juga masam. Oleh sebab itu, makanan Thai sangat digemari ramai.
Thailand memiliki empat daerah yang berbeza seperti Thailand Utara, Thailand Selatan, Thailand Tengah dan juga Thailand Timur Laut. Ia turut memiliki pengaruh masakan yang berbeza. Berikut merupakan makanan tradisi Thailand yang masih kekal sehingga sekarang.
Tod Man Pla merupakan hidangan yang berasal dari negara Thailand. Ia merupakan hidangan ikan dan ayam. Biasanya, masyarakat Thailand memilih ikan sebagai bahan utama tod man pla berbanding ayam.
Ikan yang digunakan pula merupakan isi ikan berwarna putih. Hidangan tod man pla ini biasanya dijual oleh para peniaga jalanan dan anda boleh mendapatkannya di sekitar bandar.
Rempah kari merah ala Thailand akan digunakan untuk menyajikan hidangan ini. Penggunaan rempah kari ini akan menghasilkan warna merah serta rasa yang agak pedas. Selain ikan dan ayam, antara bahan lain yang turut digunakan adalah hirisan kacang panjang.
Bubur nasi yang dimasak bersama campuran ayam atau makanan laut dikenali dengan nama khao tom. Jika bubur nasi ini dicampurkan dengan udang, ia dikenali sebagai khao tom goong. Manakala bubur nasi yang dicampur dengan ikan dikenali sebagai khao tom pla.
Khao Tom yang dicampur dengan udang, ikan dan ayam adalah halal dan boleh dinikmati oleh masyarakat Islam. Hidangan khao tom sangat sesuai dimakan oleh mereka yang kurang sihat dan dalam proses penyembuhan. Ini kerana khao tom mengandungi rempah yang bersifat menghangatkan tubuh badan.
Ia juga sesuai dimakan semasa musim hujan atau musim sejuk. Jika di Thailand, hidangan biasanya dimakan semasa sarapan pagi.
Terdapat hidangan lain yang namanya hampir sama dengan khao tom, iaitu khao pad. Jika khao tom adalah bubur nasi, maka khao pad pula adalah hidangan nasi goreng.
Nasi goreng Thailand ini sangat berbeza dengan hidangan nasi goreng di tempat lain. Ini kerana nasi goreng Thailand mengandungi pelbagai bahan sampingan yang menyihatkan.
Selain ditambahkan dengan isi ayam, udang dan telur, hidangan khao pad biasanya ditambah dengan hirisan timun, cili serta serbuk paprika. Kombinasi bahan sampingan ini memberi persembahan yang menarik terhadap hidangan khao pad dan boleh menarik perhatian pelanggan.
Hidangan pad Thai telah lama wujud sejak tahun 1930an lagi. Ia terus dipopularkan sehingga hari ini bagi membangkitkan semangat nasionalisme. Pad Thai merupakan salah satu makanan yang membawa nama Thai sebagai nama hidangan.
Bagi anda yang tidak mengenali hidangan ini, ia merupakan hidangan yang mirip seperti kuetiaw. Pad Thai menyajikan hidangan yang dimasak bersama taugeh dan kucai. Ia turut dilengkapi dengan lembu ataupun makanan laut.
Tom Kha Kai merupakan hidangan berkuah dari Thailand yang seakan – akan sama seperti tom yam. Ia merupakan hidangan seperti sup dengan kuah santan dicampurkan bersama. Hidangan ini memberikan rasa lemak dan lebih pedas daripada tom yam.
Penggunaan cili yang banyak membuatkan hidangan ini terasa begitu pedas. Hidangan ini sangat sesuai bagi peminat hidangan pedas kerana level kepedasannya sangat tinggi. Isi ayam turut digunakan dalam masakan ini.
Daun limau nipis turut dicampurkan ke dalam hidangan ini bagi memberi aroma yang begitu memukau serta dapat membuka selera ramai.
Som tam merupakan sajian yang menyihatkan. Ia terdiri dari campur sayur – sayuran dan juga betik muda.
Hidangan ini berasal dari daerah Isaan yang terletak di bahagian timur Thailand. Masyarakat Thailand biasanya memilih som tam sebagai sajian bagi menggantikan hidangan berat dalam diet harian.
Bahan yang digunakan adalah hirisan betik muda, tomato, cili, bawang putih serta sos khas dicampurkan ke dalam som tam. Ia memberikan rasa manis, pedas dan masam, yang boleh anda nikmati begitu sahaja.
Tom yam sangat terkenal bukan sahaja di Thailand, malah cukup terkenal dan diminati oleh warga Malaysia. Ia merupakan hidangan tradisi masyarakat Thailand sejak berkurun lamanya.
Tom yam merupakan hidangan khas Thailand yang berbentuk sup dan dicampurkan bersama ikan, udang, ayam, daging, sotong serta banyak lagi. Setiap bahan yang dicampurkan ke dalam tom yam akan menghasilkan rasa serta karekteristik yang tersendiri.
Jika anda ke Thailand, hidangan tom yam boleh didapati di mana sahaja. Terdapat tom yam goong berisi udang, tom yam pla berisi ikan dan tom yam po taek pula berisi aneka makanan laut. Malah, terdapat juga tom yam yang bersantan.
Tom yam berisi santan memiliki warna kuah yang agak keruh berbanding tom yam biasa di mana warnanya agak kejernihan. Beberapa bahan lain turut dicampurkan seperti bawang putih, lengkuas, cili, serai, kicap masin, daun limau purut, halia dan limau nipis.
Khanom Chin Nam Ya antara nama hidangan Thailand yang agak panjang. Hidangan ini sering menjadi perhatian bagi peminat makanan Thailand. Ia sangat digemari oleh masyarakat tempatan kerana keenakannya.
Hidangan ini merupakan mee putih yang dihidangkan bersama kuah kari ikan pedas. Kepedasan kuah kari ini yang menambah selera setiap orang yang mencubanya. Biasanya hidangan ini boleh di dapati di tengah bandar.
Harga hidangan ini juga begitu murah dan sebab itulah menjadi kegemaran ramai.
Gai yang merupakan makanan khas dari Thailand yang merupakan ayam bakar seekor . Oleh itu, pelanggan yang ingin menikmati hidangan ini tidak boleh memesan hanya bahagian tertentu sahaja seperti di sesetengah restoran.
Hidangan ini biasanya terdapat di daerah Chiang Mai, Thailand. Ayam bakar ini akan diperap bersama rempah ratus istimewa yang memberikan rasa yang begitu enak. Setelah diperap, ia akan dibakar sehingga masak.
Ayam bakar yang telah siap dimasak akan dipotong terlebih dahulu sebelum dihidangkan di atas pinggan besar. Ia dipotong bagi memudahkan untuk menikmatinya.
Kao Niew Ma Muang atau juga dikenali dengan pulut mangga merupakan makanan dari Thailand yang begitu enak dimakan sebagai pencuci mulut. Hidangan ini mempunyai rasa manis, lemak dan masin menjadi kegemaran ramai. Ia menggunakan mangga cokanan yang lebih wangi, manis serta memiliki aroma dan isinya yang halus sangat sesuai dihidangkan bersama pulut.
Selain mangga dan pulut, santan juga digunakan untuk dimakan bersama. Hidangan ini akan ditaburkan dengan bijan panggang di atas pulut sebelum dihidangkan. Biasanya pulut mangga ini dihidangkan pada waktu petang, namun ia sesuai dimakan pada bila – bila masa sahaja.
Makanan ini dipercayai mampu memberikan kecantikan serta kesihatan kepada yang memakannya, kerana hidangan ini memberikan khasiat makanan yang lengkap.
Miang Kham merupakan hidangan pembuka selera masyarakat Thai. Hidangan ini terdiri dari daun kaduk yang dimakan bersama halia, isi kelapa goreng, udang kering, kacang tanah, bawang merah dan cili yang dihiris halus.
Ia dimakan bersama sos masam manis yang dimasak menggunakan resepi khas. Kesemua bahan ini akan dibungkus bersama di dalam daun kaduk. Ia dimakan begitu sahaja.
Campuran bahan – bahan ini akan memberikan rasa pedas, lemak, manis dan masam yang sememangnya enak dimakan begitu sahaja.
Thailand turut terkenal dengan hidangan karinya. Antara kari yang terkenal di sini adalah kaeng phet yang merupakan kari merah. Ia turut dikenali sebagai sup pedas.
Hidangan berkuah pedas ini begitu digemari oleh masyarakat tempatan dan juga pelancong luar. Kaeng phet menggunakan daging ayam dan lembu sebagai bahan utama yang dicampurkan dengan rempah kari merah dan juga santan.
Rempah kari merah ini merupakan campuran cili kering, bawang putih, bawang merah, lengkuas, ketumbar, jintan putih, lada, serai, belacan, garam dan kulit limau purut yang dihiris halus. Kesemua bahan ini dikisar halus dan dimasak sehingga menjadi kuah. Ia boleh dicampurkan dengan sayuran seperti rebung, terung, tauhu, labu dan bermacam lagi.
Hidangan kari hijau yang turut dikenali dengan nama kaeng khiao wan sangat popular di Thailand selain kari merah. Khiao merujuk kepada cili hijau, manakala wan pula bererti manis. Apabila kedua nama ini disatukan, khiao wan bermaksud kari yang diperbuat dari cili hijau dan rasanya manis.
Walaupun wan bermaksud manis pada makanan, namun hidangan kaeng khiao wan ini juga boleh dimasak lebih pedas berbanding kari merah. Kari hijau ini biasanya menggunakan ikan, daging lembu dan juga ayam.
Antara bahan lain yang turut dimasukkan ke dalam hidangan ini adalah santan kelapa, rempah kari hijau, terung, gula hijau, kicap ikan dan sayur – sayuran. Kuah kari hijau ini memiliki kekentalan yang tersendiri, ia bergantung kepada jumlah santan yang dimasukkan. Biasanya hidangan ini dimakan bersama nasi putih, bihun mahupun capati.
Kaeng Matsaman merupakan satu lagi hidangan kari yang begitu popular di Thailand. Ia telah hadir pada abad ke-17 Masehi. Matsaman dalam hidangan ini merujuk kepada umat Islam.
Istilah massaman atau matsaman sebenarnya bukan berasal dari bahasa Thailand. Kari massaman memiliki rasa yang begitu menyelerakan. Biasanya hidangan ini dijadikan hidangan bangsa Persia mahupun Timur Tengah.
Hidangan ini menggunakan pelbagai bahan seperti buah pelaga, bunga cngkih, bunga lawang, buah pala, jintan dan daun salam.
Khanom khrok adalah sejenis hotcake kelapa kecil. Ia dibuat menggunakan kuali besi khas dengan lekapan. Dua keping hotcake ini akan dicantumkan yang membentuk mini pancake. Hotcake ini boleh dihidangkan dengan rasa yang berbeza, samada manis ataupun masin.
Khanom Krok ini merupakan pencuci mulut tradisional Thai. Ia menggunakan bahan – bahan seperti tepung beras, gula, dan santan untuk membentuk adunan.
Kuih ini memiliki aroma yang wangi, manis serta mempunyai tekstur yang licin dari santan.
Khao Mok Gai atau “ayam dan nasi dengan segala-galanya,” adalah versi nasi beriyani Thailand. Ia dimasak bersama kepingan ayam dan rempah ratus yang memberi aroma wangi bagi menghasilkan nasi yang kaya dengan warna kuning, rasa lazat ayam.
Nasi ini dihidangkan bersama ayam, bawang goreng, dan sos masam manis dan pedas yang berwarna hijau. Ia turut disertakan bersama kepingan timun atau pelbagai acar bagi menghiasi nasi untuk tambahan rasa yang berbeza.
Biarpun hidangan ini kelihatan seperti nasi ayam biasa, namun ia memiliki keunikan rasa yang tersendiri dan pastinya tidak mengecewakan.
Gar Hor Bai Toey atau ayam goreng pandan merupakan satu lagi hidangan Thai yang terkenal. Ia merupakan hidangan ayam yang diperap dengan rempah ratus sebelum dibaluti daun pandan. Ia kemudiannya digoreng dan dimakan bersama sos bijan.
Gar Hoi Bai Toey memberikan aroma yang begitu mengliurkan. Ayam yang dibaluti daun pandan ini akan mengekalkan tekstur ayam yang kekal berjus dan tidak mengeringkan. Penggunaan daun pandan ini membuatkan ayam tersebut lebih wangi.
Biasanya pada masa dahulu, hidangan ini hanya disajikan di restoran kelas menengah hingga ke restoran mewah kerana keunikan untuk mempersiapkannya. Namun kini, ia telah menjadi salah satu menu hidangan yang boleh anda dapati hampir di kebanyakan restoran.
Ia boleh dijadikan menu sampingan dan boleh dimakan begitu sahaja kerana hidangan ini penuh dengan rasa. Ia sangat enak dimakan semasa masih panas kerana aromanya yang pasti membuka selera anda.
Biarpun Thailand bukanlah sebuah negara Islam, namun terdapat jua masyarakat yang menganut agama Islam. Oleh itu, makanan halal juga boleh didapati di negara ini. Makanan Thailand kebanyakan menggunakan rempah ratus asli bagi mengekalkan keaslian resepi turun temurun.
Hidangan Thailand memberikan rasa pedas, namun turut seimbang dengan rasa manis, masin dan masam. Makanan Thailand bukan sahaja digemari oleh orang tempatan, namun ia sering menjadi pilihan ramai terutama dari Malaysia.