Tidak perlu gusar jika membuat perancangan untuk bercuti di Tokyo, Jepun. Kini telah banyak restoran halal yang berada di pasaran Tokyo. Malah, anda boleh mencuba hidangan masyarakat Jepun tanpa sebarang keraguan ketika berada di Tokyo.
Antara hidangan yang boleh anda cuba adalah daging waghyu, mee udon, ramen, sushi, shabu- shabu dan banyak lagi. Jom kita lihat senarai restoran halal yang boleh kita cuba ketika berkunjung ke Tokyo.
Restoran Gyumon merupakan restoran yang menyediakan hidangan daging segar yang dibakar panas – panas. Ia sering menjadi tumpuan ramai pelancong Muslim untuk menjamu selera di sini. Set menu rice bowl di restoran ini dijual pada harga serendah ¥1,000 sahaja.
Anda boleh menjejaki restoran ini dengan menaiki perkhidmatan kereta api dan berhenti di Shibuya Station (South Exit). Setiap hari restoran ini dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 12.00 tengah malam.
Alamat: 3-14-5 Shibuya, Shibuya-ku, Tokyo
Hidangan shabu shabu yang menggunakan daging Wagyu segar dan halal terdapat di Restoran Hanasakaji-san. Pemilik restoran ini hanya menggunakan daging Wagyu segar sahaja untuk setiap hidangan yang disediakan.
Selain itu, pelanggan boleh menikmati hidangan tradisional Jepun lain seperti sushi dan tempura. Restoran ini memulakan operasinya pada jam 11.30 pagi hingga 12 tengah malam.
Alamat: 3-22 Sakura Building B1, Sakuragaoka, Shibuya, Tokyo
Para peminat ramen pasti gembira apabila berada di Tokyo. Ramen halal serta menyelerakan banyak dijual sekitar bandar Tokyo. Bagi anda yang ingin menikmati hidangan ramen yang halal, anda boleh mencubanya di Halal Ramen Ouka.
Hidangan ramen yang dihidangkan bersama pilihan ayam mahupun daging, pastinya membuat anda terasa lapar. Pada hari Isnin hingga Khamis, restoran ini dibuka mulai jam 2.00 petang dan pada hari Jumaat jam 5.00 petang.
Bagi hari Sabtu dan Ahad pula, restoran ini dibuka agak awal iaitu mulai jam 12.30 tengahari. Setiap hari restoran ini ditutup pada jam 10.00 malam.
Alamat: 1-11-7 Shinjuku, Shinjuku, Tokyo
Restoran yang menyediakan hidangan set nasi tempura ini pastinya membuatkan anda kecur liur dibuatnya. Tambahan pula terdapat pelbagai hidangan menarik seperti ayam, udang, labu dan juga terung.
Sos yang dihasilkan juga menggunakan bahan – bahan yang suci dan halal sahaja supaya pengunjung dapat menikmatinya tanpa ragu. Untuk menjamu selera di sini anda boleh datang seawal jam 11.00 pagi dan ianya tutup pada jam 11.15 malam.
Alamat: Ginza-INZ 2F, 3-1, Ginza, Chuo, Tokyo
Anda tidak perlu pening kepala untuk memillih hendak makan di mana kerana Sekai Café ini menyajikan pelbagai hidangan halal dan juga menyajikan menu diet khusus seperti vegan. Hidangan Lamb Steak nya juga penuh mengujakan dengan rasanya yang begitu mengasyikkan.
Selain itu, pastikan juga anda mencuba pelbagai hidangan pencuci mulut yang menarik. Waktu operasi restoran ini adalah mulai jam 10.30 pagi hingga jam 10.00 malam setiap hari.
Alamat: 1 Chome-18-8 Asakusa, Taito, Tokyo
Restoran ini terletak berhampiran stesen Roponggi dan juga kawasan Nishi Azabu yang serba moden. Hidangan istimewa di sini adalah daging bakar dan juga bagi peminat nasi briyani, boleh juga mencuba hidangan Nasi Briyani Bamboo yang memang sedap rasanya.
Restoran ini dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu mulai jam 11.30 pagi hingga jam 11.30 malam dan tutup pada hari Ahad.
Alamat: 3-20-16, Nishiazabu Annex 1F, Nishi-Azabu, Minato, Tokyo
Hidangan Chicken Karaage, Mixed Tempura serta Chicken Katsu Curry pastinya membuat anda menikmati hidangan dengan gembira kerana dapat merasai keenakkannya. Menu hidangan asli ini sudah semestinya diyakini halal kerana telah mendapat sijil pengiktirafan yang benar – benar sah.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 11.00 pagi hingga jam 10.30 malam.
Alamat: B1 Floor, Shinjuku Metro Shokudo,1-2-1,Nishishinjuku, Shinjuku, Tokyo
Biarpun di Malaysia turut terdapat hidangan udon, namun di Tokyo ini ternyata lebih asli masakannya. Tambahan pula ia disediakan oleh cef yang sememangnya terdiri dari masyarakat tempatan Jepun.
Hidangan udon di sini adalah sedap dan pastinya halal. Konsep restoran ini adalah menggunakan konsep layan diri. Pelanggan boleh memilih jenis topping serta saiz udon yang dikehendaki.
Menu sampingan lain yang boleh anda cuba juga adalah seperti onigiri serta tempura yang disajikan segar. Kaunter sup pula menyediakan hidangan kuah udon panas yang pastinya lebih menyelerakan. Setiap hari restoran ini dibuka mulai jam 7.30 pagi hingga jam 9.00 malam.
Alamat: Level 5F, Sky Food Court, Narita Airport Terminal 1, Chiba
Peminat – peminat sushi boleh datang menjamu selera di Asakusa Sushi Ken yang menampilkan rasa asli sushi. Ia menggunakan bahan – bahan halal sahaja termasuk sos pencicahnya juga.
Pelbagai pilihan sushi boleh anda cuba di sini seperti Ebi Nigiri, Tamago, Ebiko dan banyak lagi. Waktu operasi restoran ini adalah seawal jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang, kemudian dari jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam bagi hari Isnin hingga Sabtu.
Manakala pada hari Ahad pula, waktu operasi diawalkan mulai jam 11.30 pagi hingga 3.00 petang dan sambung dari jam 5.00 petang hingga jam 10.00 malam.
Alamat: 2-11-4 Asakusa, Taito, Tokyo
Restoran Malaychan1 terletak di Ikebukuro, Tokyo. Ia merupakan salah satu restoran di Tokyo yang mendapat sijil pengiktirafan Islam dari Malaysia. Terdapat pelbagai hidangan Malaysia disajikan seperti roti canai, nasi goreng, mee goreng serta menu hidangan masyarakat Cina Malaysia.
Bagi mereka yang inginkan hidangan masyarakat Malaysia, boleh datang menjamu selera di sini tanpa was – was. Restorannya juga selesa, bersih dan pastinya hidangan yang disajikan adalah enak.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 11.00 pagi hingga 2.30 petang dan 5.00 petang hingga 10.30 malam.
Alamat : 22-6 Toshima, Tokyo 171-0021
Nama restoran ini seperti nama sebuah filem iaitu Aladdin. Restoran ini menyajikan pelbagai hidangan makanan tradisional dari Iran dan terletak di kawasan daerah Minamiazbu. Hidangan makan tengahari yang disediakan di sini adalah secara buffet manakala hidangan makan malam pula ada secara ala-carte. Terdapat menu seperti kebab, nasi Arab, roti Arab dan bermacam lagi.
Bagi menghiburkan para pelanggan yang menjamu selera di sini, persembahan tarian gelek turut diadakan. Anda pasti terhibur dengan persembahan yang diadakan setiap Jumaat malam yang menghiburkan.
Alamat : 3-2-6, 2F Minato-ku, Tokyo, Japan 106-0031
Semestinya anda sudah pun mengetahui lokasi restoran halal yang terdapat di bandar Tokyo. Tiada lagi masalah untuk mendapatkan makanan halal di sini. Bagi anda yang baru merancang untuk bercuti di negara matahari terbit ini, pastinya artikel ini mampu memberi info yang begitu bermakna.