Lubuk Bangku D’ Cabin Cafe adakah café yang merupakan lubuk kerusi ? Atau lubuk apakah agaknya café ini. Jangan salah faham ya, kerana Lubuk Bangku D’ Café ini merupakan sebuah café yang menampilkan hidangan tradisional masyarakat Negeri Sembilan.
Ia telah diusahakan sejak tahun 2016 oleh pasangan suami isteri Rouzieda Abd Ghani dan juga Azhar Ali. Lokasi café ini terletak di Bangsar Utama beroperasi dalam kontena sebagai tarikan pelanggan. Kemudiannya, café ini telah berpindah ke sebuah lokasi yang berdekatan.
Café ini diinspirasikan oleh Rouzieda yang berketurunan Minang yang mengadaptasi makanan popular di Sumatera Barat, Lubuk Bangku. Ia terletak antara Bukit Tinggi dan juga Paya Kumbah.
Sebenarnya, nama Lubuk Bangku merupakan sebuah nama pusat kulinari Indonesia yang terkenal di Sumatera Barat. Lubuk Bangku D’ Cabin Café menyediakan hidangan tradisional Negeri Sembilan yang menghidangkan pelbagai masakan kampung, seolah – olah seperti menjamu selera di kampung halaman.
Antara hidangan yang popular di café ini adalah gulai lemak cili api daging salai, sambal tumis ikan bilis petai, terung berlado, ayam kampung berlado dan juga asam pedas ikan pari. Café ini hanya menyediakan asam pedas ikan pari sahaja dan tiada sebarang ikan lain.
Daging salai yang dijadikan hidangan gulai lemak cili api disediakan sendiri oleh cafe ini. Setiap minggu sebanyak 60 kilogram daging segar akan digunakan bagi menghasilkan daging salai. Ia disalai menggunakan kaedah tradisional yang menggunakan sabut kelapa dan juga tempurung kelapa.
Bagi mengelakkan daging terlalu kering, daging tidak akan disalai terlalu lama. Apabila ia sudah cukup tempoh disalai, daging tersebut akan diangkat bagi mengekalkan jus yang terdapat pada daging tersebut.
Setelah daging selesai disalai, ia akan dipotong sederhana dan dibiarkan sejuk bagi menjaga kualiti daging. Daging akan direbus pula selama satu jam sebelum dipotong nipis. Kemudian ia dimasak bersama rempah ratus dan ramuan asli seperti kunyit, serai, cili padi, garam dan gula, santan segar, pucuk ubi serta asam keping.
Sambal tumis ikan bilis petai pula menggunakan resepi serta ramuan asli yang tersendiri. Ia boleh dimakan bersama nasi lemak dan juga dimakan bersama pulut katan yang dimasak tanpa santan. Menu pulut katan ini hanya disajikan pada hari Sabtu sahaja.
Pada setiap hari Sabtu juga, restoran ini turut mengadakan pasar lambak dan terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk turut serta membuat jualan barangan terpakai. Para pelanggan yang menjamu selera di sini boleh mendapatkan barangan yang memikat hati.
Restoran ini beroperasi setiap hari kecuali hari Ahad. Ia bermula pada jam 7.00 pagi hingga jam 3.00 petang menjadi tumpuan ramai yang menggemari hidangan masakan kampung.
Alamat : Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar 59200 Kuala Lumpur