Apa yang ada di Luboook Makan King? Pasti ramai yang dah tahu kewujudan kedai makan yang masih viral hingga kini. Datang sahaja, pasti dipenuhi dengan ramai pengunjung terutama pada waktu kemuncak, tak kira cuti umum atau tidak.

Terletak di Dengkil, kedai makan ini memang mudah untuk diakses kerana terletak di tepi jalan utama. Jadi, mudah untuk anda mencari lokasinya tanpa sesat.

Luboook Makan King merupakan kedai makan yang menjual pelbagai menu tradisi dan lauk kampung. Kedai ini salah satu port makan tengah hari buruan bukan sahaja bagi penduduk setempat malah pengunjung luar. Ada yang pernah datang ke sini? Jika tidak, ini perkara yang anda perlu tahu sebelum merancang ke sini.

Menu Menarik

Seperti yang dinyatakan di atas, pelbagai menu ala kampung yang ditawarkan buat pengunjung sehingga pasti dapat menghilangkan rindu anda pada menu tradisi. Masuk sahaja kedai ini, pasti anda rambang mata untuk memilih menu yang ada.

Dengar cerita, datang ke sini wajib cuba Sotong Bakar Buncit. Sotong bersaiz besar yang dibakar bersama rempah istimewa memang mengancam. Bukan sahaja lembut, malah rasa ‘juicy’ sotong bakar menambah selera setiap pengunjung. Selain sotong bakar, ada juga pelbagai jenis ikan bakar. Kesemua menu ini lazat dicicah bersama sambal kicap dan air asam.

Ada penggemar gulai lemak di sini? Siput Sedut Masak Lemak disini tidak kurang hebatnya. Rasa gulai lemaknya persis resepi ori dari Negeri Sembilan. Tidak terlampau pedas, sesuai untuk kanak-kanak atau mereka yang tidak makan makanan pedas.

Antara menu lain yang menjadi kesukaan ramai adalah Gulai Kambing Bekwoh, Gulai Tempoyak Patin Temerloh, Kari Telur Ikan, Asam Pedas dan Kari Ikan Jenahak. Selain gulai-gulai, banyak juga pilihan ulam-ulaman dan sambal. Gabungan kesemua menu lengkap menjadikan makan tengahhari anda lebih berselera.

Satu lagi menu istimewa yang perlu anda cuba adalah Teh Tarik Madu. Rasa teh ais madu ini memang padu. Tengok sahaja limpahan buih sudah buat ramai terliur.

Kenapa Perlu Makan Di Sini?

Sebab utama anda perlu makan disini semestinya rasa setiap menu yang disediakan pasti tidak mengecewakan anda. Bukan sahaja sedap, malah harganya murah dan sangat berbaloi. Tak percaya? Lihat sahaja review di Google mahupun Facebook yang telah diberikan oleh pengunjung.

Selain itu, ruangan makan sangat selesa. Tempat makan luas dan mampu memuatkan ramai orang dalam satu masa. Jadi, tidak ada masalah jika anda mahu membawa keluarga besar mahupun rakan-rakan untuk makan tengah hari di sini.

Jangan risau tentang kemudahan utama, kedai ini menyediakan tandas dan surau yang bersih dan selesa. Ia memudahakan urusan setiap pengunjung.

Review

Ini antara feedback pengunjung yang pernah ke sini. Rata-rata memang mahu datang dan makan di sini semula. Ini antara komen mereka:

Restoran terletak di tepi jalan utama dan senang untuk dicari. Walaupun parkir terhad, tetapi berbaloi untuk singgah. Makanan dan minuman sedap dan banyak menu untuk dipilih.

Siti Nabila

Makanan Kampung Authentic berkonsepkan layan sendiri. Gulai lemak tempoyak ikan patin terbaik. Ikan pari bakar sambal menjilat jari.

Amir Senin

Banyak pilihan menu. Lauk pun sedap. Pelbagai jenis masak lemak, bakar-bakar, sup keting, ulam ulam. Crowded juga sebab sampai pukul 1 tengahari. Tapi okaylah tak perlu tunggu lama.

Zai Sharif

Info Tambahan

Alamat: No 31, Kampung Bukit Piatu, 43000 Dengkil, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin (11.00 am-5.00 pm)

No telefon: 017-286 1447

Facebook: LuboooK MakanKing Viral D’Dengkil

Walaupun Luboook Makan King dibuka sehingga jam 5.00 petang, namun anda digalakkan untuk datang awal jika tidak mahu kesesakan atau lauk yang anda inginkan habis. Lazimnya, kedai ini akan dipenuhi pengunjung sewaktu makan tengah hari bermula 12.30 tengah hari.

Rancang perjalanan anda sebaiknya jika mahu makan dengan selesa dengan pelbagai menu yang ada. Ajak pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan untuk menikmati juadah tradisi yang sedap dan menggamit kenangan. Selamat mencuba!

Berada di sekitar Dengkil dan mencari tempat makan sedap di sini? Ini senarai tempat makan yang perlu anda cuba!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.