Kedai Makan Rahmat – jika anda orang Pasir Gudang, pasti anda sudah terbiasa mendengar nama restoran yang sangat popular ini. Beroperasi lebih 33 tahun, ianya memang restoran ‘legend’.

Walaupun restoran sepertinya memang senang didapati, namun restoran ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Kalau sampai ditampilkan dalam akhbar tempatan, jelaslah yang ianya bukan calang-calang restoran.

restoran siakap goreng

Imej via Foursquare

Jadi, apa yang membuatkan Kedai Makan Rahmat begitu terkenal sekali? Hidangan apa yang disediakan di sini? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan membaca!

Siakap Goreng, Hidangan ‘Laku Keras’ di Kedai Makan Rahmat

Inilah dia salah satu hidangan yang paling istimewa di restoran ini – siakap goreng! Mungkin hidangan ini kedengaran biasa sahaja buat anda namun jika anda mencubanya sendiri, anda pasti akan tergoda!

Apa yang luar biasa sangat tentangnya? Ramai menyukai siakap goreng ini yang rangup di luar namun masih lembut isinya. Kesegaran isinya juga kian terasa semakin anda mengunyahnya.

siakap goreng kedai makan rahmat

Imej via Foursquare

siakap goreng kedai makan rahmat

Imej via Foursquare

Hidangan ini cukup enak jika dicicah bersama sambal di sini. Ramai mengesyorkan agar anda cuba sambal kicap dan sambal belacan, rasa masin dan pedasnya memang menyelerakan!

Saiz hidangan juga agak besar. Kami berani jamin kalau anda makan seekor siakap goreng bersama nasi putih dan sambal kicap sahaja, anda pasti akan kenyang.

Makanan Laut Lain Yang Segar & Tersangat Sedap

Bukan siakap goreng sahaja yang berjaya menambat hati ramai pelanggan. Hidangan lain yang kebanyakannya makanan laut pun turut bikin ramai terpikat!

sambal udang sambal ketam

Imej via Foursquare

Pelanggan-pelanggan yang pernah ke sini menyukai udang goreng, sambal ketam dan sambal tumis udang. Udang gorengnya rangup dan isinya pula lembut.

Untuk sambal tumis udang dan sambal ketam, sambalnya cukup rasa pedas, manis dan masinnya. Ditambah pula dengan udang dan ketam yang segar, patutlah menu-menu ini sangat digemari!

Selain itu, ikan pari bakar juga merupakan antara hidangan yang terlaris di restoran ini. Ikan ini dibakar dengan sempurna dan ‘juicy’ isinya. Enak dimakan begitu sahaja!

Lokasi Yang Strategik & Pemandangan Yang Cantik

Kadang-kadang, lokasi restoran yang terlalu ‘dalam’ menyukarkan kita untuk ke sana. Pusing sana pusing sini pun masih tak jumpa-jumpa.

Jangan risau, perkara tersebut tidak akan anda hadapi jika ke sini. Walaupun restoran ini terletak di hujung kampung, ianya tidak terlalu susah untuk dicari.

pemandangan kedai makan rahmat

Imej via Foursquare

Selain itu, pemandangannya juga cantik. Restoran ini dibina bersebelahan dengan laut, jadi bolehlah anda menikmati makanan yang menyelerakan sambil menghayati pemandangan yang menenangkan.

Banyak Lagi

Bukan lauk-pauk sahaja yang boleh dicuba, sayur-sayuran di sini juga enak-enak belaka. Sambil menikmati siakap gorengnya, pesanlah sayur kailan ikan masin. Dijamin sedap!

Sambal tempe di sini juga wajib anda cuba. Sambalnya yang enak dan tempenya yang lembut memang sangat melazatkan.

Kesimpulan

Sudah tidak sabar-sabar mahu mencuba menu-menu yang enak di Kedai Makan Rahmat? Jika berpeluang ke Pasir Gudang, lekaslah singgah sebelum terlepas peluang.

Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran. Singgah pada waktu yang sesuai ya, takut berebut pula ruang parkir dan ruang dalam restoran nanti.

Alamat: Jalan Pantai, Kampung Pasir Putih, 81700 Pasir Gudang, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (10:30 am – 3:30 pm, 6 – 11 pm)

Mencari lebih banyak tempat makan ‘best’ di Pasir Gudang? Klik sahaja di link di bawah. Selamat menjamu selera!
Tempat Makan Best di Pasir Gudang

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.