Hendak tahu best Chicken Chop in KL?
Sebut sahaja tentang makanan Western di Kuala Lumpur, kami yakin pasti ada di kalangan pembaca yang risau tentang harga yang ditawarkan, bukan? Maklumlah, jika di bandar, selalunya harga makanan terutama menu Western memang agak mahal.
Tidak dinafikan, harga yang ditawarkan di kebanyakan restoran terutamanya restoran-restoran yang terkenal dengan jolokan ‘kafe hipster’ ini selalunya mahal-mahal, terutamanya jika anda berada di Kuala Lumpur, bukan?
Namun, usah gundah! Buat penggemar menu Barat yang cukup terkenal iaitu Chicken Chop, kami tahu restoran-restoran sekitar Kuala Lumpur yang perlu anda terjah untuk mencuba Chicken Chop yang berkualiti tinggi dan berpatutan harganya. Teruskan membaca ya!
Bajet ketat namun masih mengidamkan makanan Barat yang enak-enak? Restoran ini pasti cocok dengan anda! Terkenal dengan menu Barat seperti Ribs Eye, Burger Bakar dan Chicken Chop, harga yang ditawarkan di restoran Eye’s Steak ini juga murah-murah!
Anda pasti tidak percaya jika kami katakan yang Chicken Chop di gerai Eye’s Steak ini harganya kurang RM 10 bukan? Harganya hanya RM 7.50! Sangat berbaloi dengan saiz hidangannya yang agak besar dan keenakan yang dijamin!
Isi ayam yang digoreng rangup yang dibanjiri dengan sos lada hitam yang pekat ini menjadi kunci utama menu Chicken Chop di sini digilai ramai. Dihidangkan bersama kentang goreng dan coleslaw, menu yang cukup mengenyangkan ini wajib anda cuba!
Alamat: GM05-09 & GM05-10, 2, Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam
Chicken Chop semurah RM 6.90? Ini bukan temberang ya! Di restoran Paksu Chicken Chop, menu kegemaran ramai iaitu Chicken Chop boleh didapati pada harga yang tidak masuk akal murahnya!
Walaupun harganya terlampau murah, namun saiz hidangannya tidaklah terlalu kecil. Sos lada hitam, kentang goreng dan coleslaw yang disajikan juga tidak ‘kedekut’, cukup mengenyangkan dan sangat berbaloi.
Anda juga boleh mengenakan Chicken Chop di sini bersama nasi goreng, dijamin kenyang berganda-ganda! Menu Nasi Goreng Chicken Chop di sini boleh didapati pada harga RM 8.90 sahaja. Kami yakin ianya pasti menjanjikan kepuasan kepada anda!
Alamat: 289,, 279, Jalan Gombak, Kampung Kuantan, 53100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 4:30 petang hingga 12 tengah malam
Nama restoran ini tidak asing lagi di Kuala Lumpur. Terkenal dengan menu Barat seperti Mix Grill, Special Lamb Chop dan yang Special Chicken Chop, menu-menu di restoran Fiske Steakhouse ini juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan!
Antara keistimewaan utama menu Special Chicken Chop ini ialah isi ayamnya yang dipanggang dengan begitu baik sekali. Daging ayam yang rangup di luar namun empuk di dalam menjadikan menu Special Chicken Chop di sini begitu mengancam.
Disajikan bersama sos lada hitam yang membanjiri isi ayam, kentang putar dan coleslaw, menu yang bersaiz besar ini hanya dijual pada harga RM14 sahaja. Cukup berbaloi dengan kualitinya dan keenakannya yang tidak terhingga!
Alamat: Medan Selera Taman Desa Keramat, Jalan Enggang, AU 2, Taman Keramat, Setiawangsa, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 2:30 petang hingga 12 tengah malam
Restoran Top Steak House merupakan antara restoran yang menghidangkan makanan Barat yang agak popular di Sungai Besi. Terkenal dengan menu-menu Barat yang cukup beraneka, harga yang ditawarkan di sini juga sangat berpatutan!
Antara menu yang kerap dipesan oleh pengunjung di sini ialah Fish N Chips, Black Pepper Steak dan Lamb Chop. Kebanyakan menu di restoran Top Steak House ini dihidangkan bersama sos yang cukup istimewa iaitu sos barbeku yang cukup pekat!
Menu Chicken Chop di sini juga digemari ramai! Daging ayam yang lembut dan tidak liat dan sos barbeku yang pekat menjadi kunci utama menu ini tersenarai antara menu yang ‘laku keras’ di restoran Top Steak House, anda wajib cuba!
Alamat: 1.2A, Jalan Tasik Utama 6, Medan Niaga Tasik Damai, Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari bermula dari jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam, manakala hari Jumaat bermula dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam
Westerns Cafe yang merupakan restoran berkosepkan makanan Barat ini juga merupakan antara restoran yang agak terkenal di kawasan Bukit Cheras. Bukan sahaja kerana harganya murah, malah kualiti makanan di sini juga memang dijamin ‘tip-top’!
Bagi yang menggemari Chicken Chop yang dihidangkan bersama sos lada hitam yang pekat dan banyak, anda pasti akan jatuh cinta berkali-kali dengan menu Chicken Chop yang dihidangkan di Westerns Cafe ini,.
Chicken Chop yang dihidangkan bersama bun, kentang goreng dan coleslaw ini hanya berharga RM 10.50 sahaja! Sudahlah sedap, harganya pula murah. Sememangnya berbaloi terutamanya buat sesiapa yang ingin berjimat!
Alamat: Jalan 15/144a, Taman Bukit Cheras, 56000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam
Kami yakin pasti ramai di kalangan pembaca yang sudah membuat persiapan untuk menyerbu restoran-restoran yang kami senaraikan di atas, bukan? Sudahlah menunya enak-enak belaka, harganya juga sangat murah!
Bagi yang sudah mula memasang niat untuk menyerbu restoran-restoran di atas, anda dinasihatkan untuk datang awal kerana dikhuatiri tempat duduk atau tempat parkir sudah mula dipenuhi dengan pengunjung yang lain. Lekas terjah sebelum terlepas peluang ya!