Kata orang, Pulau Pinang merupakan syurga nasi kandar. Perkara ini fakta dan tidak dapat dinafikan lagi. Tetapi restoran yang mana satu jadi pilihan?
Cargas Cafe menawarkan kelainan kepada anda kerana ia sedikit berbeza dengan kedai-kedai nasi kandar yang lain. Cargas Cafe menyajikan masakan kari dan lain yang lebih cenderung kepada rasa nasi campur melayu berbanding masakan india. Oleh sebab itu, restoran ini juga digemari penduduk tempatan.
Cargas Cafe bukanlah seperti typical restoran nasi kandar yang mempunyai pekerja mencedok lauk untuk anda, di sini konsepnya seperti nasi campur melayu iaitu anda layan diri sendiri.
Biarpun begitu, Cargas Cafe pernah tersenarai dalam ranking 10 nasi kandar terbaik di Penang oleh New Sunday Times!
Menu-menu popular di Cargas Cafe semestinya berasaskan lauk pauk makan tengah hari. Antara makanan yang popular di sini adalah ayam (gulai, ros, kicap,goreng), daging (keping,cincang), sotong (kembang sekeping, seekor), udang seekor, ikan gulai, ikan pari asam pedas, ulam-ulaman, sambal dan sebagainya.
Lengkap pakej masakan melayu dan nasi kandar. Boleh dikatakan Cargas Cafe adalah hibrid nasi melayu dan nasi kandar.
Namun kegilaan pengunjung di sini adalah ayam goreng dan ayam bawang. Cepat habis dan terus ditambah panas-panas dari dapur.
Pekerja akan datang melongokkan ayam goreng yang masih berasap di hadapan muka anda. Jika tak terliur mungkin anda sakit pada hari itu! hehe, atau mungkin jenis tak minat makan ayam.
Kuah dan kari Cargas Cafe agak ringan dan tidak tajam seperti nasi kandar lain. Saat anda memijakkan kaki ke sini saja sudah dapat bau aroma rempah ratus lauk pauknya.
Tidak ada menu yang lain selain nasi di sini memandangkan Cargas Cafe hanya fokus kepada nasi campur. Pelanggan yang datang ke sini juga hanya bertujuan untuk makan berat tengah hari. Turut disediakan juga minuman sejuk dan panas pelbagai jenis di sini.
Penduduk setempat mungkin boleh berbeza idealogi parti politik, namun apabila tentang Cargas Cafe, pengunjung semua boleh bersatu. Bagi memuaskan hati ramia orang yang jauh dari Penang, mereka membuka cawangan lain Cargas Cafe di Kuala Lumpur.
Seperti nama kedainya Cargas Cafe, anda juga harus cergas ketika datang ke sini. Kebiasaannya anda perlu berbaris menunggu giliran terlebih dahulu. Namun jangan risau kerana tidak terlalu lama untuk menunggu.
Apa lagi, pasti tak sabar nak menjamah menu-menu lazat sebagai juadah tengah hari kan!
Lokasi: 978, Main Road, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali sabtu (9am – 5pm)
No Telefon: 012-4261169