Ada pencinta Boat Noodle di sini? Atau anda tertanya-tanya apa itu Boat Noodle yang kian popular pada zaman sekarang terutama di kebanyakan kafe dan restoran ‘hipster’?

Bagi yang merancang untuk ke JB, Johor atau menetap di sana, kami cadangkan agar anda serbu restoran ini untuk merasai sendiri kelazatan sebenar ‘boat noodle’ yang menjadikannya begitu istimewa di hati ramai.

amphawa boat noodle @ jb

Imej via Foursquare

Restoran Amphawa Boat Noodle di JB yang mula beroperasi sejak tahun 2014 ini sangat dikenali dengan Boat Noodle yang dikatakan begitu asli dan istimewa di kota JB. Bagi yang ingin tahu lebih lanjut tentang apa yang begitu istimewa dengan restoran ini, teruskan membaca ya!

amphawa boat noodle

Imej via Foursquare

Amphawa Boat Noodle, Resepi Boat Noodle Asli Thai

Di Amphawa Boat Noodle, Boat Noodle di sini disediakan menggunakan resepi asli dari Thailand. Menu ini dihidangkan di dalam sebuah mangkuk kecil bersama daging, daun bawang dan kuah yang istimewa. Harganya? Hanya RM1.90 semangkuk, cukup berbaloi!

Ada tiga jenis kuah untuk Boat Noodle ini – kuah Amphawa atau Original yang rasanya masam dan pedas, kuah Rangsit yang berherba dan kuah Tomyam. Memang berbagai, cukup kena dengan tekak pelbagai rasa!

pad krapow @ amphawa boat noodle

Imej via Foursquare

Pad Krapow, Hidangan Yang Cukup Enak dan Mengenyangkan

Tak sahlah jika menu ini tiada di dalam senarai jika ianya restoran Thai. Pad Krapow merupakan antara menu yang paling laris di restoran Amphawa Boat Noodle. Rasa masam dan pedasnya yang seimbang menjadi kunci utama ianya begitu digilai ramai!

Dihidangkan bersama nasi putih, ayam pedas yang dicincang kecil dan telur goreng yang rangup, saiz hidangan menu ini cukup besar. Sudahlah enak, mengenyangkan pula. Harganya juga kurang RM10, sememangnya berpatutan!

pad thai @ amphawa boat noodle

Imej via Foursquare

Pad Thai, Rasa Yang Berbagai dalam Satu Hidangan Thai

Bagi yang tertanya-tanya tentang menu ini, Pad Thai ialah makanan Thai yang dihidangkan bersama mi goreng, tofu, udang, taugeh dan banyak lagi!

Untuk melengkapkan rasa Pad Thai ini, ianya juga disajikan bersama serbuk cili yang menambahkan rasa pedas, kacang hancur untuk rasa lemak dan limau nipis untuk rasa masam. Hasil gabungan ini? Semestinya menu yang enak!

Tom Yum Gung Seafood with Rice @ Amphawa Boat Noodle

Imej via Foursquare

Tom Yum Gung Seafood, Menu Paling ‘Meletup’

Penggemar tomyam, kami ada berita baik buat anda! Selain Boat Noodle, Tom Yum Gung Seafood merupakan antara menu yang paling banyak dipesan di restoran Amphawa Boat Noodle.

Rasa masam dan pedasnya, aroma kuah tomyam yang cukup memikat dan dihidangkan bersama udang, sotong dan lala, kami yakin menu ini pasti akan bikin anda ketagih. Cukup enak dimakan bersama nasi putih panas-panas!

milk tea kaya toast @ amphawa boat noodle

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Jika anda teringin untuk merasai pencuci mulut, anda boleh cuba menu ini. Milk Tea with Kaya Toast merupakan roti bakar yang disajikan bersama ‘milk tea’, kelapa dan kaya di atasnya.

Rasanya tidak terlalu manis, cukup enak dimakan setelah anda menikmati menu lain yang pedas. Harganya juga cukup murah untuk menu yang saiznya agak besar, hanya RM6.90!

pulut mangga @ amphawa boat noodle

Imej via Foursquare

Bagi peminat makanan Thai, pasti anda menggemari pencuci mulut ini – Mango Sticky Rice! Mango Sticky Rice atau pulut mangga di sini merupakan antara pencuci mulut yang paling laku.

Pulut yang dihidangkan bersama buah mangga yang cukup manis dan segar dan dilengkapi pula dengan santan yang pekat, tidak hairanlah menu ini bikin ramai jatuh cinta dengannya. Anda wajib cuba!

Menu @ Amphawa Boat Noodle

Imej via Foursquare

Menu-menu di Amphawa Boat Noodle ini cukup menarik, kami yakin anda pasti sudah mula tertarik! Bukan sahaja Boat Noodle, malah menu lain seperti tomyam dan pencuci mulut juga boleh bikin sesiapa sahaja terliur!

Bagi yang sudah mula teringin untuk merasai menu-menu istimewa ini, cepat-cepatlah serbu Amphawa Boat Noodle yang terletak di Jalan Ibrahim, Bandar Johor Bahru di JB ya. Dijamin memuaskan hati, sekali rasa pasti nak datang lagi!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.