Mengembara ke Osaka secara solo atau berkumpulan pastinya menyeronokkan. Selain melawat ke tempat – tempat menarik di Osaka, makanan tempatan juga mesti anda cuba. Namun, tidak semua restoran di Osaka menyajikan hidangan halal buat masyarakat Muslim. Sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam, artikel ini pasti dapat membantu anda membuat pilihan. Jom kita sama – sama lihat senarai restoran halal yang boleh anda nikmati sewaktu berkunjung ke Osaka, Jepun. 

#1. Malaysia Boleh

Terdapat sebuah restoran yang menghidangkan menu masakan orang Malaysia di Osaka ini. Restoran yang dikenali sebagai Malaysia Boleh mengetengahkan pelbagai menu yang terdapat di Malaysia. Bagi yang tidak dapat berjauhan dengan masakan Malaysia, boleh datang menjamu selera di sini.

Masak Lodeh

Imej via facebook

Restoran ini menyediakan pelbagai menu masakan Melayu – Thai seperti tomyam, sup, nasi goreng, char kue teow, kari, pisang goreng dan banyak lagi. Sewaktu menjamu selera di sini pastinya anda terasa seakan berada di tanahair tercinta.

Ikan Goreng Berlada

Imej via facebook

Setiap hari restoran ini memulakan perniagaan pada jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang, dan mulai 5.30 petang hingga 11.00 malam. Namun pada setiap hari Selasa, restoran ini tidak beroperasi.

Alamat :1 Chome-4-20 Oyodominami, Kita, Osaka, Osaka Prefecture 531-0075, Japan

#2. Tsuki no Odori

Para peminat hidangan ayam boleh cuba hidangan di sini. Restoran Tsuki no Odori ini menyajikan pelbagai hidangan ayam halal setiap hari. Penyediaan hidangan halal sangat dititikberatkan oleh restoran ini bagi memenuhi standard yang ditetapkan.

Ayam Jepun

Imej via facebook

Menu hot pot miso yang disediakan boleh dikongsi bersama dua orang rakan. Ia hidangan sup panas yang sangat menepati selera pengunjung. Anda juga boleg mencuba hidangan yakitori yang sememangnya lazat. Jangan lepaskan peluang mencuba hidangan aiskrim karamel masin sebagai pencuci mulut.

Hot Pot Soup

Imej via facebook

Sekiranya anda bersama 4 orang rakan atau lebih, tempahan awal adalah sangat digalakkan. Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam dan ditutup setiap hari Khamis.

Alamat: 24K Bld.2F, 1-1-11, Dotombori, Chuo-ku Osaka-shi, Osaka

#3. Bulls

Restoran Bulls merupakan restoran yang menyediakan hidangan daging seperti shabu – sahu, sukiyaki dan juga steak halal bagi masyarakat Muslim. Hidangan berasaskan daging shabu – shabu serta sukiyaki dihidangkan untuk makan malam.

Shabu Shabu

Imej via facebook

Restoran ini juga menyediakan hidangan bukan halal, namun bahan mentah serta sos ayam untuk pelanggan Islam adalah halal kerana tempat penyimpanan serta peralatan dapur adalah secara berasingan. Bagi pelajar yang datang menjamu selera di sini boleh mendapat diskaun sekiranya menunjukkan kad pelajar semasa memesan makanan halal.

Ramen

Imej via facebook

Setiap hari restoran ini memulakan operasi mulai jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang untuk hidangan tengahari manakala waktu makan malam pula mulai jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Alamat: OCAT Mall 5F, 1-4-1, Minatomachi, Naniwa-ku, Osaka

#4. Naritaya Osaka

Restoran Naritaya ini antara restoran yang menyediakan ramen halal di Osaka. Cawangan pertama restoran ini adalah di Asakusa, Tokyo menyajikan hidangan ramen yang berkualiti serta enak. Restoran ini sering menjadi persinggahan ramai setelah membeli belah di kawasan sekitar berdekatan Shinsaibashi.

Nasi Daging

Imej via facebook

Selain ramen, terdapat menu lain yang boleh anda cuba dan rasa yang begitu memikat hati seperti bento yang pastinya lazat. Anda boleh memesan bento dalam bentuk bungkusan dan dibawa pulang ke hotel anda.

Udon

Imej via facebook

Pada hari bekerja restoran ini beroperasi mulai jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang, mulai 5.00 petang hingga 10.00 malam dan pada hujung minggu ia beroperasi mulai 12.00 tengahari hingga 5.00 petang.

Alamat: 1-7-23, Higashishinsaibashi, Chuo-ku Osaka-shi, Osaka 542-0083

#5. 3te ‘kafe’

Hidangan daging Kobe antara hidangan enak yang mesti anda cuba jika menjejak kaki ke Osaka. Mungkin ia agak sukar didapati di restoran lain, namun di kafe ini anda boleh mencubanya.

Daging Kobe

Imej via facebook

Selain hidangan daging Kobe, anda juga boleh mencuba hidangan pencuci mulut yang sangat menarik untuk dicuba. Restoran ini sering menjadi tempat bagi pertemuan kumpulan Muslimah tiga kali dalam sebulan kerana suasana restoran yang begitu selesa serta hidangan halal yang enak disediakan oleh restoran ini.

Ayam tempura

Imej via facebook

Restoran ini menyediakan hidangan tengahari mulai jam 11.30 pagi hingga 4.00 petang dan hidangan makan  malam mulai jam 6.00 petang hingga 10.00 malam setiap hari.

Alamat: 1 Chome-10-17 Nishishinsaibashi, Chūō-ku, Ōsaka-shi, Ōsaka-fu 542-0086, Jepun

#6. Cafe Bintang

Jangan tidak tahu, di Osaka juga mempunyai restoran yang menyediakan makanan Jawa. Restoran ini menyajikan hidangan masakan Indonesia dan juga Malaysia yang pelbagai serta menyelerakan dan sesuai dengan tekak masyarakat Asia.

Nasi Padang

Imej via facebook

Lokasi restoran ini yang terletak berhampiran pusat membeli belah di Shinsaibashi serta tidak jauh dari stesen kereta api menjadikan ia restoran yang digemari ramai terutamanya pelancong dari Asia. Pemilik restoran ini beragama Islam menyajikan hidangan makanan asli masyarakat Jawa.

Nasi Ayam

Imej via facebook

Anda boleh mendapatkan hidangan sate, gado – gado, soto ayam, bakso dan banyak lagi di sini. Nasi Goreng Klasik juga menjadi pilihan ramai pelanggan. Restoran ini turut menyediakan ruang solat bagi yang masyarakat Muslim. Waktu operasi restoran adalah mulai jam 12.00 tengahari hingga 11.00 malam setiap hari.

Alamat: 1-19-19 Higashi-Shinsaibashi, Chuo-ku, Osaka-shi, Osaka 542-0083

#7. Pyramid

Semasa bercuti di Osaka, jangan pula anda terkejut jika menjumpai restoran yang menghidangkan makanan dari negara Mesir. Restoran ini mendapat pengiktirafan halal dari Persatuan Halal Nippon Asia menyediakan hidangan tradisional masyarakat Mesir seperti sandwich kebab serta itik panggang.

Kebab Kambing

Imej via facebook

Bahan yang digunakan merupakan rempah ratus asli dari Mesir bagi mengekalkan keaslian makanan yang dihidangkan. Pastinya anda tidak sabar untuk mencuba hidangan di sini.

Naan Tandori

Imej via facebook

Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang dan kemudian pada jam 6.00 petang hingga 10.00 malam untuk hidangan makan malam. Saiz restoran ini agak kecil namun tetap selesa untuk menjamu selera di sini.

Alamat: 6-8-1 Nakatsu, Kita-ku, Osaka-shi, Osaka 531-0071

#8. The French Blue

Restoran yang menyajikan hidangan masyarakat Perancis dan Jepun ini memberi anda satu pengalaman yang berbeza di mana ia kelihatan agak mewah. The French Blue merupakan satu – satunya restoran Perancis yang menyajikan hidangan halal.

Roti Perancis

Imej via facebook

Tiada sebarang penggunaan alkohol atau sebarang minyak haiwan digunakan dalam penyediaan hidangan serta sos mereka. Malah, hanya daging halal digunakan untuk sajian mereka.

Daging Perancis

Imej via facebook

Menggunakan sentuhan khas serta elemen negara Jepun semasa penyediaan makanan menjadian ia hidangan Perancis – Jepun yang memiliki nilai ekstetika yang tersendiri serta memberi rasa yang begitu unik dalam setiap hidangan yang dihasilkan. Restoran ini beroperasi setiap hari mulai jam 11.30 pagi hingga 2.00 petang dan 5.30 petang hingga 8.30 malam. Ia ditutup pada setiap hari Rabu.

Alamat: Tenmabasiko-pu 1F, 2-2-10, Shimamachi, Chuo-ku Osaka-shi, Osaka 540-0034

Senarai lengkap restoran halal yang terdapat di Osaka telah anda ketahui. Sekurang – kurangnya anda boleh mencuba pelbagai hidangan halal di restoran yang disenaraikan. Tepuk dada, tanyalah selera, mahu makan di mana apabila berada di Osaka nanti.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.