8 Senarai Tempat Makan Best di Kuantan Yang Patut Anda Terjah

Artikel ini adalah tulisan Tuan Azri Omar daripada RasaHub untuk Saji.My. RasaHub adalah laman sesawang yang turut berkongsikan tempat makan yang terdapat di Malaysia.

 

8 Tempat Makan Menarik Di Kuantan

Ibu negeri Pahang ini adalah bandar terbesar di Pantai Timur dan ke 17 terbesar di Malaysia. Bandar yang menghadap Laut China Selatan ini mempunyai pelbagai tarikan pelancongan popular di kalangan pengunjung dalam mahupun luar negara.

Antara lokasi yang patut anda kunjungi jika sampai ke Kuantan adalah Telok Cempedak, Cherating, Taman Tema Bukit Gambang dan Air Terjun Sungai Pandan.

Mungkin anda mengikuti rombongan Cik Kiah atau atas urusan kerja ke sini dan tercari-cari lokasi tempat makan yang enak dan berbaloi dengan wang ringgit. Biar kami mudahkan kerja anda dengan menyenaraikan 8 tempat makan yang harus anda kunjungi di Kuantan.

 

#1 Lila Wadi Restaurant

Orang Kuantan jika tak tahu pasal Lila Wadi memang pelik. Restoran yang popular ini menawarkan pelbagai jenis menu memikat selera untuk memenuhi citarasa individu yang berlainan.

Lila Wadi Restaurant

Imej via Foursquare

Jika anda penggemar makanan steamboat, mereka ada tawarkan. Begitu juga masakan Barat, Melayu, Thai, BBQ dan pencuci mulut. Di antara semua yang ada steamboat dan pencuci mulut adalah yang terbaik di sini.

Kami sarankan anda cuba Kek Keju Mangga. Percayalah ini mungkin kek paling best pernah anda makan. Jangan lupa juga pekena kek keju durian!

Menu lain juga tidak kurang enaknya di Lila Wadi. Anda harus cuba Nasi Goreng Kambing, shiitake mushroom burger dan

Spagheti Carbonara yang super yummy.

Lokasi menjamu selera ini terletak di kawasan perumahan (rumah banglo) jadi terdapat tempat untuk meletak kereta. Malah ada staf yang akan tunjukkan kita tempat yang untuk kita parking.

Lokasi: Lorong Selamat 21 off Jalan Teluk Sisek

 

#2 MABIQ Restaurant

Jika semalam anda ke Lila Wadi, apakata hari ini terjah MABIQ Restaurant pula di Tanjung Lumpor. Tempat ini sebenarnya agak tersorok jadi kasi on itu waze atau google maps dan anda akan jumpa tempat ini dengan mudah.

Jika nak lebih senang, datang ke sini dengan menaiki UBER atau Grab, duduk-duduk dah sampai.

Mabiq Restaurant

Imej via Foursquare

Apa yang specialnya dengan MABIQ ni? Ok di sini anda boleh menikmati masakan Melayu Pahang terbaik pada harga yang anda mampu bayar. Cubalah masakan popular ikan patin masak tempoyak dan daging salai masak lemak, yang bak kata satu review di Facebook: best in the world.

Anda mungkin tertanya-tanya maksud nama restoran yang agak pelik ini, bukan? Mabiq bermaksud Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran dan ia diasaskan oleh Ustaz Jamaludin sebagai pusat tahfiz bagi anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Restoran Mabiq ini asalkan adalah dewan makan para pelajar sekolah tahfiz. Pemilik sekolah ini tidak hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk menampung perbelanjaan sekolah ini.

Sebaliknya mereka menubuhkan restoran ini pada tahun 2010 yang mana keuntungan kedai makan ini 100% adalah untuk membiayai keperluan sekolah maahad.

Jadi selain anda menjamu selera masakan asli Pahang yang memuaskan hati, anda juga beramal.

 

#3 Brotherhood Western & Grill

Jika anda ada mengunjungi restoran Barat lain di Kuantan, mungkin anda perasan menunya hampir sama sahaja seperti Chicken Chop, Fish and Chip and Spaghetti Alio Olio, dan anda mungkin sudah bosan dengan menu ini.

Brotherhood Western & Grill

Imej via Foursquare

Brotherhood menawarkan menu masakan Western yang lain daripada kebiasaan. Anda pasti rambang mata nak pilih pelbagai jenis Pasta, masakan panggang, Piza, Burger dan Stik. Semua pilihan yang ada di dalam menu sedap gila semuanya ditambah pula dengan harganya yang mesra pengguna. Rugi kami katakan jika anda tidak datang menikmati masakan Barat di sini.

Kami harus memberikan kredit jug terhadap tahap kebersihan yang memuaskan, dekorasi yang simple, servis yang sangat bagus dan para pekerja yang ramah.

#4 Terminal Satay Zul

Setelah puas menjamu masakan barat apakata hari ini anda singgah di lokasi makan Satay paling femes di sini. Satay yang disediakan di sini cukup sedap dan lembut. Ditambah pula dengan kuah kacang yang superb dan sambal yang menambahkan selera.

Terminal Satay Zul

Imej via Foursquare

Rasanya tidak begitu pedas dan tidak begitu manis, kena dengan citarasa semua orang. Ditambah dengan aromanya yang memikat seperti memanggil anda untuk menjamu satay Zul.

Selain satay, mereka juga ada menjual nasi lemak dan masakan panas seperti nasi goreng.

 

#5 Dallah Restaurant Nasi Arab

Restoran bertemakan masakan Arab dan Timur Tengah ini terletak di antara Berjaya Mega Mall dan East Coast Mall. Penggemar masakan Arab harus datang ke sini. Cubalah menu kambing mereka, sengat sedap, lembut dan juicy.

Dallah Restaurant Nasi Arab

Imej via Foursquare

Nasi mandi mereka juga terbaik, panjang dan lembut. Selain nasi anda boleh cuba menu roti mereka yang crispy. Portion yang diberi juga banyak jadi anda boleh berkongsi dengan orang lain.

Datanglah ke Dallah jika anda mengidam masakan Arab dan kami jamin pasti tidak mengecewakan.

 

#6 Jaman Tory Resipi

Restoran ini mula beroperasi pada 2006 dan hanya bermula dengan setingkat lot kedai tepi. Sekarang kedai makan ini telah berkembang menjadi 2 tingkat. Menunjukkan betapa sedapnya menu di sini dan betapa bagusnya servis mereka sehingga boleh berkembang maju.

Jaman Tory Resipi

Imej via Foursquare

Anda boleh memilih untuk makan di meja yang diletak di kawasan letak kereta atau di dalam restoran.

Menu yang menjadi trademark adalah Char Koay Teow kerang bersama udang, Gulai Ikan Patin Masak Tempoyak, Daging Salai Masak Lemak dan satu lagi menu istimewa Ciss Terbakor (Nasi Goreng Cheese).

Seperti Mabiq Restaurant, Jaman Tori Resipi menawarkan masakan Melayu Pahang yang harus anda cuba.

Lokasi: 15 2/3 indera mahkota 2, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

 

#7 Warung Aja Selera Kampung

Asyik makan di restoran sahaja, mungkin anda tercari-cari warung atau gerai. Ha apalagi datanglah ke Warung Aja kerana mereka menawarkan lauk-pauk yang sedap-sedap dan terlebih banyak pilihan.

Warung Aja Selera Kampung

Imej via Foursquare

Mungkin akan menjadi tempat makan tengah hari wajib anda apabila berkungjung ke Kuantan. Suasananya stail kampung terletak di tepi jalan dan kerusi meja di letakkan di bawah pokok-pokok rendang.

Mereka menawarkan pelbagai juadah tradisional Melayu disamping masakan Asia lain dan stail Barat. Apa yang lebih best mereka memberi pencuci mulut percuma setiap Rabu dan Jumaat.

Antara menu yang menjadi tarikan di sini antaranya:

  • Butter Prawn
  • Ikan pari masak 3 rasa dengan ketulan mangga
  • Tofu seafood cheese
  • Ikan panggang
  • Pelbagai jenis sambal dan juga ulam-ulaman
  • Air kepala muda
  • Air Batu Campur

Anda tidak perlu kuatir pasal harga kerana sangat berbaloi dan berpatutan. Para pekerja pun tidak sombong.

Lokasi: Jalan Bukit Setongkol

 

#8 Fryerzone Western Food

Lokasi terakhir yang kami ingin kongsi di sini adalah tempat makan Western yang terletak di Perkampungan Indera Sempurna, Kuantan. Jika tidak tahu tempat ini Waze dan Google Maps kan ada. Fryerzone adalah lokasi yang anda boleh jumpa masakan Western pada harga yang pada kami antara termurah di Kuantan.

Fryerzone Western Food

Imej via Foursquare

Contohnya, dengan hanya RM9.80 hanya boleh mendapat segelas air buah oren atau epal segar dan ayam panggang didatangkan bersama sos lada hitam, roti bun, coleslaw dan ketang goreng. Jangan salahkan kami jika anda ketagih untuk makan di sini semasa kunjungan ke Kuantan.

Menu lain yang anda boleh pilih adalah stik daging dan chicken chop yang amat yummy.

Kami jamin anda tidak akan menyesal berkunjung ke salah satu daripada 8 tempat makan paling best di atas. Samada masakan tempatan tradisional Melayu atau Barat, anda pasti puas hati dengan menu yang ditawarkan disamping servis para pekerja yang kami beri 5 bintang.

Inginkan cadangan lokasi menjamu selera syok dan terbaik di bandar lain? Teruskan mengikuti laman sesawang kami dan like Facebook page kami untuk update terkini.

Pendapat Anda?

Add Comment