Restoran Todak , Syurga Peminat Seafood JB

Jika anda berada di Johor, singgahlah di Kampung Orang Asli yang terletak di Telok Jawa, Masai, Johor. Ia adalah syurga makanan laut kepada peminat makanan laut terutamanya mereka yang datang dari Singapura.

 

Restoran Todak

 

Restoran Todak merupakan sebuah restoran kelong. Ini bermakna, anda makan di ruang terbuka, berbumbungkan langit dengan pemandangan lautan luas. Oleh itu, tiada kipas atau penghawa dingin di sini. Anda akan dihembus oleh bayu laut yang adakalanya membawa bau dari laut.

 

Suasana Restoran

Nun jauh di sana, anda akan melihat pantai Sembawang, Singapura kerana restoran ini terletak bertentangan dengannya. Maka, jika anda datang semasa petang menghampiri malam, anda akan dihidangkan dengan pemandangan indah langit dan cahaya matahari yang sedang tenggelam.

 

Menu Restoran Todak

Di sini ada pelbagai jenis makanan laut. Semuanya segar-segar. Khabarnya ramai peminat makanan laut datang ke Restoran Todak untuk makan ketam. Ada pelbagai jenis ketam termasuk dari Sabah dan Sri Lanka yang dijual pada harga yang berbeza bermula dari RM38 sekilogram sehingga RM150 sekilogram.

Jika anda ke sini, anda akan melihat ada banyak kotak styrofoam. Kotak-kotak inilah yang menjadi tempat mengisi ketam-ketam tersebut.

 

Restoran Todak

Imej via Foursquare

 

Selain ketam, ada juga udang krai yang dijual dengan harga RM48 sekilogram, lokan, dan sebagainya. Makanan-makanan laut yang segar ini pasti mempunyai rasa yang lebih lazat. Ia dimasak dengan pelbagai rasa menggiurkan seperti kari, lada hitam, telur asin dan sebagainya.

Menu yang dicadangkan untuk cuba apabila di sini adalah ketam masak cili, siakap masak nyonya,ketam masak black pepper atau kari ketam.

 

Info & Waktu Operasi

Restoran Todak dibuka setiap hari bermula jam 11:30 pagi sehingga 11:30 malam. Jika anda datang pada waktu siang, anda mungkin tidak perlu berebut atau menanti tempat kosong. Ini kerana, tidak ramai pelanggan pada waktu siang. Anda dapat memilih dan menikmati makanan dalam suasana yang lebih tenang dan aman.

Waktu kemuncaknya pula bermula kira-kira 6:30 petang. Pada waktu ini anda akan melihat ruang restoran dipenuhi ramai orang sehingga ada yang terpaksa menunggu pelanggan lain selesai makan sebelum mendapat tempat.

Pasti mata anda melilau memerhatikan jika ada pelanggan yang mula meninggalkan meja. Jangan bimbang. Biasanya pelayan akan membantu anda mendapatkan tempat kosong.

Pelayan-pelayan dan tukang masak di Restoran Todak mengenakan baju-T berwarna kuning. Mereka semua pantas dalam menjalankan tugas. Walaupun jumlah pelanggan amat ramai, tukang masak berjaya memasak dalam tempoh masa yang dikira amat cepat.

Ada pelanggan yang mengeluh kerana terpaksa menunggu lama sebelum dapat menikmati makanan mereka. Namun jika diperhatikan kepada jumlah pelanggan yang ramai serta pelbagai jenis masakan untuk dimasak, ia tidaklah seteruk yang disangkakan.

Untuk pengetahuan, tiada menu disediakan kepada setiap pelanggan seperti mana kebiasaannya. Hanya ada satu tempat untuk melihat menu iaitu pada satu papan besar yang tertulis semua jenis makanan laut dan masakan berserta harga.

Di situlah anda membuat pilihan. Jika anda datang dengan memandu kenderaan, Restoran Todak menyediakan parkir di depan restoran mereka. Parkir ini luas tetapi penuh pada waktu puncak.

 

Restoran Todak Halal Ke?

Soalan yang biasa diajukan adalah status halal makanan yang disediakan di Restoran Todak. Lebih-lebih lagi pengunjungnya pula kebanyakannya bukan Islam. Sedikit sebanyak akan menimbulkan keraguan kepada pelanggan beragama Islam. Restoran ini tidak memiliki sijil halal daripada JAKIM.

Namun begitu, pada satu sudut, tertulis pada sebuah papan kenyataan berbunyi “Not Allowed Pet, Pork Food and Drink”. Maka, makanan berasaskan daging khinzir tidak dibenarkan sama sekali di sini.

Untuk tempahan tempat duduk, anda boleh menghubungi 07-3863696.

Pendapat Anda?

Add Comment