Restoran Lembah Bernam : Patut CUBA Rendang Landak Kari Kijang

Restoran Lembah Bernam kelihatan seperti mana restora-restoran masakan Melayu yang lain jika dilihat dari luar. Kedudukannya di kawasan sawah menambah lagi ciri-ciri desa sebuah restoran masakan Melayu.

Namun, sebenarnya ada sesuatu yang amat membezakannya dengan restoran-restoran yang lain.Jika anda membayangkan ayam, ikan dan daging adalah makanan yang ada di sini, anda tidak salah.

 

Menu Eksotik Ayam Hutan Goreng, Landak Rendang/Goreng, Kari Kijang

Ini kerana itu adalah lauk yang biasa anda temui di kebanyakan restoran. Tapi Restoran Lembah Bernam yang terletak di Sekinchan ini mempunyai sedikit kelainan. Daging yang mereka masak bukanlah sekadar daging. Mereka terkenal dengan daging rusa, landak, dan pelanduk!

Restoran Lembah Bernam

Restoran Lembah Bernam
Image via Foursquare

Ya, ini memang betul. Ia ditulis sebagai makanan eksotik pada menunya. Namun, bagi penulis ia bukanlah terlalu
eksotik kerana bila disebut ‘eksotik’, penulis ada membayangkan ular dan kala jengking.

Bagi anda yang tidak biasa dengan daging rusa, landak, dan pelanduk, anda dijemput untuk merasai pengalaman menikmati daging rusa masak lada hitam atau rendang landak. Jenis masakan lain untuk makanan ini ialah sup, masak kicap, goreng, berlada, dan lemak cili api.

Mungkin anda sudah biasa dengan daging rusa. Sekarang cuba pula daging landak yang lembut dan manis rasanya. Jika anda tak mahu kedua-duanya, mungkin anda mahu mencuba sup belut mereka.

Jika itu meloyakan tekak anda walaupun ia amat digemari pelanggan mereka, anda boleh kembali kepada makanan biasa seperti sambal udang galah, ayam kampung, atau pilihan ikan dengan pelbagai jenis kaedah masakan.

Antara ikan yang ada di sini ialah baung dan tapah yang juga dijual mengikut harga pasaran. Harga udang galah adalah mengikut gred bermula dengan RM3 bagi gred C sehingga RM15 bagi gred A. Mereka juga menyediakan lauk-pauk yang sudah tersedia masak bersama-sama dengan pelbagai jenis ulam-ulaman dan kerabu.

Pencuci mulut pula terdiri daripada tapai ubi, tapai pulut, sagun, dadih, jeli, dan kerepek.

Harga daging-daging ‘luar biasa’ itu adalah mengikut pasaran. Anda boleh membeli daging landak dengan harga kira-kira RM24 untuk 200gram dan RM16 bagi setiap 200gram bagi daging rusa.

Secara keseluruhannya, harga mereka adalah amat berpatutan. Malah, ia dianggap murah bagi ramai pelanggan jika dibandingkan dengan beberapa restoran yang lain. Menu yang dicadangkan di sini apabila datang ke restoran ini adalah landak goreng, atau rendang landak ataupun kari kijang. Bukan kami yang cadangkan, tetapi berdasarkan pengongsian ramai.

 

Lokasi dan waktu Operasi Restoran Lembah Bernam

Lokasinya yang berada di kawasan sawah padi menyejukkan hati dan mata yang sedang menjamu selera. Ini juga masa bagi sesetengah pelanggan untuk berselfie berlatarbelakangkan sawah padi. Jika anda tidak mahu makan di dalam restoran, anda boleh makan di pondok yang berada di luar restoran.

Kerana masakan yang sedap dan suasana yang selesa, Restoran Lembah Bernam tidak sunyi dari dikunjungi para pelanggan yang datang dari pelbagai daerah dan negeri terutama semasa hari cuti umum. Pelanggan juga menyatakan keinginan untuk kembali menjamu selera di sini. Anda juga tidak perlu bimbang dengan layanan pelayan. Setakat ini, layanan mereka mendapat pujian daripada para pelanggan.

Restoran Lembah Bernam
Image via Cheritera

 

Restoran Lembah Bernam ini asalnya dimiliki oleh Haji Jaafar dan isterinya, Hajah Sarah. Haji Jaafar telah pun meninggal dunia dan restoran ini kini dijaga oleh anaknya, Mat.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan, bolehlah menghubungi 011-33354656 atau 055455654. Alamat mereka ialah Jalan Main Canal, Tali Air 9, Sekinchan, Pasir Panjang, Selangor. Parkir juga luas tetapi penuh semasa hari cuti atau hujung minggu.

Restoran Lembah Bernam dibuka dari hari Sabtu sehingga Khamis. Maka, ia tidak beroperasi pada hari Jumaat. Ia dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 5 petang.

Pendapat Anda?

Penaja

Add Comment