Fenomena Pisang Goreng Keju. 2 Jam Menunggu?

Nota Editor : Artikel ini datangnya daripada pihak Utusan.Segala kredit untuk mereka.

Pelbagai transformasi dibuat oleh pengusaha produk makanan dalam memperkenalkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi.Tidak kurang hebatnya dengan pisang goreng untuk sajian waktu petang itu telah diolah menjadi pisang goreng keju.

Mungkin bagi yang pertama kali mendengarnya, ia agak pelik namun di Alor Setar pisang goreng keju antara makanan yang menjadi sebutan dalam kalangan penggemar pisang goreng.

Sehinggakan ada pelanggan yang sanggup menunggu lebih dua jam untuk merasai keenakan pisang goreng keju, malah terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan menerusi Facebook empat hari lebih awal.

 

pisang goreng keju

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Imej:Utusan

 

Pengusahanya, Izham Ahmad, 36, berkata, dia terkejut dengan sambutan yang diterima daripada pengunjung sehinggakan mereka terpaksa mengambil tempahan menerusi panggilan telefon kira-kira lima jam sebelum beroperasi.

Katanya, perniagaan yang mula diusahakan dua tahun lalu itu pada mulanya hanyalah menjual pisang goreng sama seperti peniaga lain.

“Masa berniaga pisang goreng dahulu banyak persaingan di kawasan ini, jadi saya fikir perlu lakukan sesuatu untuk memberi kelainan kepada pelanggan.

“Dari situlah kami mula buat pisang goreng coklat, pisang goreng sarung dan pisang goreng rangup namun pisang goreng keju lebih mendapat sambutan berbanding yang lain sebab itulah kami fokuskan kepada satu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bekas chef yang berpengalaman dalam bidang makanan barat dan pastri ini memberitahu, kelainan pada pisang gorengnya adalah menggunakan tepung yang dihasilkan sendiri.

Menurut Izham, tepung segera yang diolah daripada resipi keluarga mertuanya itu merupakan bahan asas yang penting untuk tujuan merangupkan pisang goreng tersebut.

Selain itu katanya, kombinasi gula perang di atas parutan keju memberi rasa yang berbeza berbanding pisang goreng keju yang lain.

“Saya memilih untuk taburkan gula perang di atas parutan keju adalah kerana rasa gula itu yang kurang manis, jadi semua orang boleh makan,” katanya.

Satu hari kira-kira 200 set pisang goreng keju yang dijual dengan memperuntukkan 50 hingga 60 sikat pisang.

Katanya, dalam memastikan pisang goreng yang dihasilkan berkualiti, Izham hanya menggunakan satu kuali sahaja.

“Ada pelanggan yang meminta saya tambah bilangan kuali, namun ia bukanlah perkara yang mudah kerana saya mahu pastikan goreng pisang itu tidak hangus di samping menjaga kualiti,” katanya.

Katanya, dia amat menghargai pelanggannya yang sanggup menunggu lama untuk membeli pisang goreng keju yang dihasilkan.

“Kami juga berharap agar pelanggan menghubungi kami terlebih dahulu antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk membuat pesanan dan mengambil nombor angka giliran,” katanya.

Pelanggan kini boleh mendapatkan pisang goreng keju di Jalan Langgar, belakang bangunan UNITAR International University (Unitar) bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang dan tutup pada hari Jumaat.

Waktu operasi pisang goreng keju di Jalan Gunung Keriang pula adalah pada pukul 2.30 petang hingga 7 petang dan tutup pada hari Isnin dan Selasa.

Pelanggan yang ingin membuat tempahan untuk membeli pisang goreng keju yang dijual dengan harga RM3 satu set bolehlah menghubungi Izham menerusi 017-607 0533.

Pendapat Anda?

Penaja

Add Comment