Mencari tempat makan best di Shah Alam?

Kedai makan di Shah Alam yang patut anda terjah sebenarnya banyak. Selain Bangi, Shah Alam adalah bandar yang penuh dengan restoran-restoran yang mempunyai konsep menarik dan sedap. Di sini kami kongsikan 40 tempat makan menarik di Shah Alam antaranya.

Restoran Tirai Kayangan

Imej via [ Restoran Tirai Kayangan ]

Tirai Kayangan Restaurant sangat terkenal dengan menu-menu enak yang dihidangkan. Semestinya aneka nasi goreng, ikan bakar dan tom yum yang menjadi buruan ramai pengunjung. Antara menu yang perlu dicuba adalah Nasi Goreng Pahlawan, Chicken Chop Butter Milk, Tom Yum Chiang Mai dan aneka ikan bakar.

Kawasan kedai sangat luas dan selesa. Sesuai jika anda ingin membawa ahli keluarga atau rakan-rakan dalam jumlah yang ramai untuk makan di sini.

Alamat: 1, Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-1.00 am)

Warung Tiga Lima

Siapa sangka di Shah Alam ada tempat makan klasik yang dapat mengimbau ‘vibe’ di kampung halaman. Menu tradisi yang ditawarkan juga bukan semua tempat ada tau!

Menu utama yang perlu dicuba semestinya nasi lemak. Paling best nasi lemak bungkus daun pisang yang mempunyai aroma yang wangi dan rasanya memang menepati kemahuan ramai. Tak ketinggalan, lempeng kelapa yang dihidangkan bersama sambal bilis.

Banyak juga pilih kuih seperti popia goreng sira, lepat pisang, kuih sagu dan sebagainya. Biskt Lutut 555 yang dicicah bersama kopi atau teh pasti dapat mengimbau nostalgia.

Alamat: Jalan Songkok 10/15, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (8.00 am- 11.00 am | 4.00 pm – 10.00 pm)

Restoran Temerloh Catering

Kepada pembaca yang menggemari patin tempoyak, kami ada berita baik buat anda. Ada sebuah restoran di Shah Alam yang menyediakan patin tempoyak sesedap yang di Temerloh – Restoran Temerloh Catering!

Selain ikan patin, lauk-pauk lain yang berasaskan masakan kampung juga turut disediakan. Ayam goreng, ikan talapia goreng dan pelbagai jenis ulam-ulaman dan sayur-sayuran.

Alamat: 2, Jalan Pahat J 15/J, Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (8.30 am-4.30 pm)

Restoran Gegey

Imej via [ Restoran Gegey ]

Restoran Gegey Shah Alam ini menyajikan makanan Barat dan beberapa makanan tempatan. Nasi Gapo, Nasi Pee Mak dan Nasi Gegey merupakan antara menu tempatan yang disajikan.

Untuk makanan Barat, anda boleh cuba Western Platter. Hidangan bersaiz besar ini menggabungkan beberapa makanan Barat dalam satu sajian, memang menarik, sedap dan mengenyangkan!

Alamat: No. 12 & 14, Jalan Plumbum N7/N, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Ahad (12.00 pm-11.00 pm)

Laman Grill Steak & Bar-B-Que Steakhouse

Masih mencari restoran western yang menarik? Mari terjah ke Laman Grill yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam ini. Restoran ini terkenal kerana pengasasnya iaitu Chef Zubir.

Menu yang boleh dicuba ialah spaghetti bologenese, stik tenderloin dan Chicken Chop. Kebanyakan menu di sini memang sangat dipuji. Biasalah, resepi chef profesional memang tak pernah mengecewakan!

Alamat: G33, Block 5, Laman Seri Business Park (Seksyen 13), 40000 Shah Alam, Selangor, Malaysia

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-11.00 pm)

Kueh Cafe

Imej via KUEH

Nama kafe ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan menu utama mereka. Anda pasti rasa pagi anda tidak lengkap jika tidak ada kuih untuk menu sarapan, bukan? Singgahlah di Kueh Cafe, kerana di sini ada aneka kuih yang pasti anda suka!

Antara kuih yang dihidangkan di sini ialah kuih cara berlauk, ketayap, donut, kek lapis, kuih keria dan apam ayu. Jika dikumpulkan dalam satu pinggan, memang boleh bikin sesiapa sahaja terliur!

Selain kuih, menu lain seperti mi kari dan nasi lemak turut dihidangkan di sini. Bolehlah anda nikmatinya bersama kuih-muih di sini, pasti lengkap menu sarapan anda!

Alamat: : Jalan Renang 13/26, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-9.00 pm)

Hanora Kitchen

Imej via Hanora Kitchen

Mencari port makan murah dengan menu-menu terkini? Jom ke Hanora Kitchen yang terletak di Seksyen 14. Ajak sekali rakan sepejabat untuk makan tengah hari di sini pasti lebih seronok.

Rata-rata pelanggan menggemari menu Buttermilk Chicken, Dory Fish Buttermilk, Salted Egg Chicken dan Prawn Salted Egg. Ia menjadi pilihan ramai termasuk pelajar kerana mereka menawarkan menu serendah RM 8. Memang berbaloi dengan kuantiti dan rasanya!

Alamat: No. B2, Kiosk Shah Alam Walk, Jalan Majlis, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (10.45 am – 8.00 pm)

Restoran Bisik Bisik

Orang Johor, ini mungkin menjadi restoran kegemaran anda nanti! Restoran Bisik-Bisik Seksyen 7 Shah Alam ini menawarkan pelbagai jenis sajian Johor dan juga menu lain seperti makanan Barat.

Antara menu yang boleh dicuba adalah Kacang Pool. Mendengar Kacang Pool membuatkan kenangan makan di Kacang Pool di Johor Bahru mula terimbau, bukan? Jangan risau, resepinya asli! Dengar kata Kacang Pool ini dibawa khas dari Larkin!

Mee bandung udang galah juga menjadi pilihan pengunjung di sini. Tarikan mee ini adalah pada galah yang disediakan memang besar dan betul-betul segar. Sememangnya rasa kemanisan udang galah tersebut sangat sesuai digabung dengan mee bandung!

Alamat: Medan Selera Anjung7 No 9 & 10, Jalan Zirkon B7/B, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-10.00 pm)

Kafe Eat & Repeat Shah Alam

Imej via Kafe Eat & Repeat Shah Alam

Nama restoran ini betul-betul menggambarkannya. Pelanggan yang pernah datang ke sini pasti akan singgah lagi di kemudian hari dek kerana keenakkan hidangan di kafe ini!

Kafe ini menyajikan makanan tempatan dalam mangkuk kecil, sangat unik konsepnya! Antaranya ialah nasi daging cincang, mee celup,nasi goreng cina, pulut mangga dan nasi lemak.

Alamat: YG24, Jalan Plumbum Y7/Y, PUSAT KOMERSIAL SEKSYEN 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.00 am-11.00 pm)

Foodsbury Cafe

Imej via Foodsbury

Nama kafe ini sudah tidak asing lagi di Shah Alam. Bukan sahaja di Shah Alam, malah di seluruh Selangor. Agak-agak apa yang membuatkan kafe Foodsbury ini begitu popular ya?

Terkenal dengan menu yang cukup berbagai, hidangan utama di sini berkonsepkan makanan Barat. Sebut sahaja apa yang anda mahu – pencuci mulut, pasta, tortilla, burger, semuanya ada!

Alamat: 24, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (12.00 pm-10.00 pm)

Laksa Anak Utara

Imej via [ Laksa Anak Utara ]

Siapa yang tak pernah rasa keenakan laksa utara memang rugi. Jika ingin mencubanya, anda boleh ke Laksa Anak Utara@North Station yang terletak di Seksyen 23. Di sini kuah laksanya pekat, dimakan pula bersama telur sarang yang rangup. Kombinasi yang cukup lazat.

Bukan setakat laksa, antara menu lazat yang lain adalah Nasi Daging Ayaq Asam, Nasi Ayam, Nasi Ayam Penyet dan pelbagai menu lain yang pasti tidak akan menghampakan anda!

Alamat: N0 64 Tingkat Bawah, Jalan Pelabur A 23/A, Seksyen 23, 40300 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (10.30 am-6.30 pm)

Island BBQ Steamboat

Imej via Island BBQ Steamboat

Ingin menikmati hidangan steamboat beramai-ramai? Apa kata anda singgah di restoran Island BBQ Steamboat yang terletak di Kampung Melayu Subang ini?

Restoran ini boleh dikatakan agak terkenal dek kerana jumlah pelanggan yang sentiasa ramai. Pelbagai jenis lauk boleh dipilih, baik daging mahupun makanan laut.

Menu sampingan seperti mi, nasi goreng dan nasi lemak juga boleh didapati. Alang-alang, cuba sahaja bersama steamboat di sini. Pasti lebih mengenyangkan!

Alamat: U5, Lot 3370, Jalan Kemboja, Kampung Melayu Subang, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (6.00 pm-12.00 am)

Dapor Che Lah

Rindu dengan makanan tradisi untuk makan tengah hari? Dapor Che Lah menawarkan pelbagai jenis lauk dan gulai yang enak.

Kalau rambang mata nak pilih apa, pesan sahaja set talam yang cukup dengan lauk, sayur, gulai, keropok, ulam dan sambal. Set siput sedut masak lemak, kerabu dan ikan pekasam antara yang mencuri tumpuan pengunjung. Makan bersama nasi putih panas pasti membuatkan ramai yang bertambah.

Jika set talam terlampau banyak untuk anda yang datang berpasangan, anda boleh memesan lauk pauk secara ala carte. Tak cukup dengan itu, rasa sekali bersama cekodok pisang, bubur pulut hitam dan ais kacang.

Alamat: 87, Jalan Lawan Pedang 13/27, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-10.00 pm) | Ahad (8.00 am-8.00 pm)

Asam Pedas Aidania

Teringin mencuba asam pedas yang ‘kaw’? Restoran Aidania lah tempatnya! Asam pedas sememangnya merupakan hidangan yang disukai ramai. Kaya dengan pelbagai rasa iaitu masam, manis dan pedas, hidangan ini cukup enak dimakan.

Antara menu yang boleh anda cuba di restoran Aidania ini ialah asam pedas ikan pari, asam pedas ikan keli dan asam pedas ikan kembung.

Selain daripada asam pedas, hidangan lain seperti masak lemak, makanan bergoreng dan kari juga turut disediakan di sini, cukup beraneka!

Alamat: 44, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Fradoo ABC Madness

Gerai ini merupakan salah satu gerai di Medan Selera Seksyen 2. Namun, dalam banyak-banyak gerai, gerai ini yang acap kali dibanjiri pelanggan, sampai tak menang tangan! Apa yang istimewa sangat di Fradoo ABC Madness ini ya?

Tengok nama sahaja sudah tahu menu yang paling ‘best’ di sini – ABC! Ada pelbagai jenis ABC yang disediakan di sini. Ada Classic ABC, ABC Special dan ABC Milo. Bukan sahaja ABC malah cendol pun ada di sini tau!
Alamat: Stall No 14, Medan Selera Seksyen 2, Seksyen 2, 40000 Shah Alam, Selangor

Nasi Kukus Boss @Setia Alam

Imej via Nasi Kukus Boss

Ingin mencuba nasi kukus ayam goreng berempah yang merupakan antara yang tersedap di Setia Alam? Singgah sahaja di restoran Nasi Kukus Boss!

Ayam goreng yang rangup dan lembut isinya serta kuahnya yang enak merupakan antara punca menu ini digemari ramai. Nasinya juga dihidangkan di atas daun pisang, menambahkan lagi aroma yang harum!

Alamat: 107G Jln Gemilang U13/BG, Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-12.00 am)

Pak Li Kopitiam

Imej via Pak Li Kopitiam

Restoran Pak Li Kopitiam yang terletak di Seksyen 7 ini merupakan tempat yang sesuai untuk anda bersantai bersama keluarga mahupun teman.

Terdapat pelbagai menu yang boleh dicuba disini. Tetapi menu yang dikatakan ramai patut dipesan adalah ‘Nasi Ayam Lemon’ dan ‘Golden Fried Rice’.

Manakala minuman yang disyorkan ialah semestinya kopi putihnya. Menu yang selalunya terdapat di kopitiam yang lain turut disediakan seperti roti bakar, telur separuh masak, dan nasi lemak. Cukup sesuai untuk dicuba sebagai menu sarapan!

Alamat: 42, Jalan Kristal K7/7, Sekyen 7, 40000 Shah Alam

Padangs On Wheels

Imej via [ Padangs On Wheels ]

Jika anda penggemar makanan tradisi terutama minang, anda wajib cuba makan di sini. Pelbagai jenis lauk kampung yang pasti menambat selera anda.

Yang penting, nasi dihidangkan di atas daun pisang, yang meningkatkan lagi aroma nasi tersebut. Pelbagai jenis lauk kampung yang sedap dan pasti membuat anda rambang mata. Lala masak lemak, gulai tunjang, gulai lemak pucuk paku mahupun ikan berlado antara menu yang bakal menjadi kegemaran ramai pengunjung.

Alamat: 60, Jalan Bola Tampar 13/14, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (7.30 am-7.00 pm)

Mozer’s

Imej via Mozer’s

Restoran Mozer’s ini merupakan antara restoran yang agak popular di Shah Alam. Boleh dikatakan tempat makan best di Shah Alam. Menghidangkan makanan Arab dan Barat, menu di restoran ini jugak cukup beraneka. Boleh bikin ramai rambang mata!

Antara menu istimewa di sini ialah Churros, Chicken Shawarma dan Lamb Shawarma. Churros nya dikatakan merupakan antara churros terbaik di situ, anda wajib cuba sendiri!

Alamat: 12G, D’Bayu Business Centre, 40160, Jalan Serambi U8/21, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-12.00 am)

Ra.Re Chillex Park

Warga Shah Alam pasti pernah lepak di restoran paling hipster di sini iaitu Ra.Re Chillex Park. Kawasan makan sangat luas dan mampu memuatkan sehingga lebih 1000 pengunjung dalam satu masa. Parkir juga luas dan mudah.

Restoran yang berkonsepkan gerai-gerai kecil ini menawarkan lebih 14 jenis menu yang terdiri daripada menu barat, makanan segera, makanan Thai, menu Baba Nyonya dan sebagainya.

Dah banyak menu pasti rambang mata. Ada Sup Merah Singapore Gearbox Kambing, Wantan Mee dan Nasi Daging Bakar Danok.

Alamat: Kampung Jln Kebun, 40460 Shah Alam

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-12.00 am)

Restoran Jemari

jemari @ tempat makan shah alam
Imej via Foursquare

Mengidam masakan seperti tom yam yang sedap, pekat dan pedas? Pendek kata tomyam yang memang ‘kaw’? Lekaslah singgah di Restoran Jemari yang terletak di Seksyen 7 untuk mencuba tom yam seenak itu!

Antara menu special yang terdapat di restoran ini ialah Nasi Goreng Ala-Thai. Kerabu mangga, keropok, daging masak merah, timun, bawang dan cili padi yang diletakkan dalam nasi goreng ini mampu membuat anda bertambah lapar.

Selain itu, jangan lupa untuk cuba menu kerabu kangkung di Restoran Jemari ini. Kerabu yang digoreng dengan tepung dan disiram dengan sos Thai. Ada yang mengatakan bahawa ianya terasa seolah-olah anda sedang makan keropok, rangup dan enak!

Alamat: No. 18A, Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Selangor, 40000 Shah Alam

Waktu operasi: Setiap hari (10.30 am-10.30 pm)

Big Brother & Co

Imej via Big Brother & Co

Penggemar makanan Barat patut terjah restoran ini. Restoran  ini menyajikan makanan yang kebanyakannya bersaiz besar, memang berbaloi. Konsepnya juga santai, sesuai untuk anda yang ingin meluangkan masa bersama sahabat handai mahupun keluarga!

Menariknya menu di sini adalah rasanya yang memang sedap di samping keunikan namanya. Makanan yang dipanggang semuanya segar-segar dan ‘juicy’, memang boleh bikin sesiapa sahaja terliur!

Alamat: No.54-G Jalan Setia Perdana BB/U13 Seria 88 Business Centre Setai Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Jumaat (4.00 pm-12.00 am) | Sabtu-Ahad (12.00 pm-12.00 am)

One Serambi Cafe

Imej via One Serambi Cafe

Kafe ini mempunyai ruang yang luas, cukup sesuai buat mereka yang menggemari konsep kafe yang santai dan nyaman. Menghidangkan makanan Barat dari makanan berat ke pencuci mulut, menunya juga cukup banyak dan beraneka.

Menu di sini memang berbagai. Ada menu sarapan, hidangan bersup, pasta pencuci mulut, salad, burger dan banyak lagi. Boleh bikin sesiapa sahaja rambang mata!

Selain makanan, minuman di sini juga apa kurangnya. Anda pasti terpegun dengan lukisan berbentuk hati pada kopi kegemaran anda bukan? Di sini juga ada kopi yang anda idam-idamkan. Bukan sahaja cantik, malah enak!

Alamat: 1-G, D’bayu Commercial Centre, Jalan Serambi U8/21, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (9.30 am-11.00 pm)

Restoran Aroma Hijrah

menu @ Restoran Aroma Hijrah
Imej via Foursquare

Anda penggemar makanana Arab? Restoran Aroma Hijrah pasti cocok dengan citarasa anda! Tidak keterlaluan jika kami katakan yang restoran ini merupakan antara restoran yang cukup terkenal dengan makanan Arab yang asli resepinya dan terbaik kualitinya.

Umum mengetahui yang saiz hidangan makanan Arab semestinya besar. Jadi, anda tidak akan meninggalkan restoran ini dengan perut yang tidak kenyang!

Antara nasi Arab yang dihidangkan di sini ialah nasi Mandy, Maqlubah dan Kabsah. Untuk lauk pula ada berbagai jenis – ada ayam, kambing dan daging lembu. Ada juga yang menggabungkan kesemuanya sekali dalam sepinggan dulang besar, dijamin mengenyangkan!

Alamat: Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor

Warong Soto Pasir Panambang

Khas buat penggemar soto di Selangor, rasai keenakan sebenar soto di Warong Soto Pasir Penambang. Satu hidangan besar dan mengenyangkan. Selain sup yang padu, potongan ayam goreng membuatkan soto lebih sedap. Kalau anda nak tahu, taugeh yang digunakan rangup. Mana tidaknya, ia ditanam sendiri dan dituai selepas 3 hari.

Selain soto, pecal juga antara menu yang perlu anda cuba di sini. Aneka pecal ada dan harga bermula serendah RM 5 sahaja. Uniknya pecal di sini kerana digaulkan sambal kacang bersama taugeh, nasi impit, timun, tauhu dan kangkung. Ada juga sup ceker atau sup kaki ayam. Memang layan apabila dimakan begitu sahaja.

Alamat: Seksyen 6, Shah Alam

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (9.00 am-6.30 pm)

Steamboat BBQ Buffet D’Kayangan

tempat makan shah alam
Imej via Foursquare

Buat penggemar steamboat, Steamboat BBQ Buffet D’Kayangan ini pasti menepati citarasa anda. Lauk-pauk seperi ketam, udang segar, potongan ikan, filet, ayam, kupang, tiram, kerang, kepah & banyak lagi boleh dipilih.

Kambing golek juga turut disediakan di sini. Isinya yang lembut dan juicy merupakan antara punca hidangan ini begitu digemari. Rugi tak cuba!

Alamat: Sri Acappella, 1, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: 4.00 pm-10.30 pm (Setiap hari)

Gina Food Shah Alam

Ada yang rindu menu dari pantai timur ini iaitu mee celup? Jika ada yang mengidam, bolehlah anda mencubanya di Gina Food Shah Alam yang terletak di Seksyen 16. Menu spesial semestinya mee celup bersama telur goyang.

Pengunjung boleh memilih mee celup, kuey teow celup mahupun maggi celup yang dihidangkan bersama sup ayam, daging atau perut. Selain mee celup, mereka juga pakar memasak makanan Thai yang padu.

Alamat: C-7-G, Jalan Serai Wangi H 16/H, Seksyen 16, Shah Alam

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-10.00 pm)

CRG Chicken Rice Guys

Nasi Ayam merupakan antara menu yang cukup digemari oleh orang kita tidak mengira bangsa. Jika anda berada di sekitar Seksyen 7, anda wajib singgah restoran CRG Chicken Rice Guys untuk mencuba nasi ayam mereka yang memang terbaik.

Selain nasi ayam, menu lain seperti mi kari dan mi wantan juga tidak kurang hebatnya. Kunci utama keenakan menu di sini ialah ayam yang dipanggang dengan sempurna. Rasanya yang seimbang dan isinya yang berjus memang boleh bikin ramai ketagih!

Alamat: 40, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Restoran Hatinie

Imej via [ Restoran Hatinie ]

Mencari port makan tengahhari dengan pelbagai jenis lauk dan gulai kampung? Anda boleh mendapatkannya di Restoran Hatinie. Menu-menu semestinya sedap dan pelbagai pilihan hingga membuatkan ramai pengunjung rambang mata. Yang penting, pengunjung pasti bertambah.

Alamat: 18 & 20, Jalan Selendang 10/10, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.30 am-6.00 pm)

Teh Laris Cafe

Imej via Teh Laris Cafe

Ingin mencuba makanan Johor dan Singapura? Tak perlu berjalan jauh, singgah sahaja di kafe Teh Laris yang terletak di Business Park ini! Terkenal dengan makanan Johor dan Singapura yang asli resepinya, tidak hairanlah ramai pelanggan yang memuji menu di sini.

Antara menu yang anda boleh cuba di sini ialah lontong Singapura, Mi Rebus, Nasi Ambeng dan Nasi Lemak. Cukup enak dikenakan bersama teh lemon madu mereka yang manis dan kena dengan tekak. Anda pasti sudah mula terliur, bukan?

Alamat: 13, Jalan Snuker 13/28, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Gangnam Station

menu @ Gangnam Station
Imej via Foursquare

Asyik mencuba makanan Barat atau tempatan sahaja, apa kata anda mencuba makanan Korea pula? Gangnam Station yang terletak di Seksyen 13 ini dinamakan bersempena dengan Gangnam Station yang terletak di Seoul.

Kalau dah namanya restoran makanan Korea, pasti menunya menghidangkan makanan Korea. Antara menu yang anda boleh cuba di sini ialah Bulgogi, Haemul Japchae dan Nakji Bokkeum.

Alamat: No G45, Block 6, Laman Seri Business Park, Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-10.00 pm)

Kedai Nasi JJ Kak Wok

nasi kak wok
Imej via Foursquare

Nasi Kak Wok adalah nasi berlauk versi Kelantan. Ianya merupakan menu yang membuatkan ramai orang sanggup beratur untuk makan di Kedai Nasi JJ Kak Wok ini, tiada siapa akan dapat menafikan keenakkannya!

Nasi Kak Wok adalah gabungan nasi berlauk antara gulai yang berlemak, serta beberapa ketulan kecil ayam goreng dan sambal. Kami percaya, sekali anda mencubanya, pasti anda akan tidak sabar untuk pergi untuk kali kedua.

Alamat: 50, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor

Restoran Ceria

ceria @ tempat makan shah alam
Imej via Foursquare

Anda seorang yang tidak ceria? Sedang menghadapi masalah baik masalah kerja atau dengan pasangan? Kalau begitu ceriakan diri anda dengan makan di Restoran Ceria, dijamin akan ceria perut anda selepas itu!

Contoh anda boleh cuba makan di sini adalah roti boom, cakoi, roti jala, roti tampal. Memang menarik! Kalau peminat nasi lemak, apa kata anda cuba juga nasi lemaknya yang dihidangkan bersama telur goyang, cukup mengancam!

Alamat: Jalan Ru 3/9a (Seksyen 3), Shah Alam, Selangor 40000

Mak Uda Selera Timur

nasi kerabu @ mak uda selera timur
Imej via Foursquare

Mengidam makanan Pantai Timur? Kami yakin pasti ramai di kalangan pembaca yang menggemari makanan Pantai Timur, bukan? Kaya dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam-ulaman, makanan Pantai Timur bukan sahaja menyelerakan malah mengenyangkan!

Singgah sahaja di restoran Mak Uda Selera Timur! Ada berbagai menu yang disediakan di sini, namun antara menu yang paling popular ialah nasi dagang, ikan bakar dan nasi kerabu. Dijamin enak!

Alamat: No. 16, Jalan Boling Padang G 13/G, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Nasi Ayam Pak Mal

nasi ayam pak mal
Imej via Foursquare

Sebut sahaja tentang nasi ayam, pasti ada di kalangan pembaca yang sudah mula terliur, bukan? Di Nasi Ayam Pak Mal, menu tersebut merupakan antara menu yang paling istimewa.

Yang istimewa tentang nasi ayam di sini ialah sos cilinya yang dikatakan menggandakan keenakan ayam jika dicurahkan di atasnya. Bunyi macam menarik, jadi anda wajib cuba!

Bukan sahaja nasi ayam, malah nasi kerabu dan soto juga turut disediakan di sini. Saiz hidangannya juga besar dan harganya juga berpatutan, cukup berbaloi.

Alamat: 2, Jalan Selendang 10/10, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Kopimeo

Imej via Kopimeo Cafe

Anda pernah terdengar tentang menu spaghetti ikan masin? Spaghetti dan ikan masin sememangnya menu Barat dan tempatan yang popular tapi bayangkan gabungan kedua-duanya, memang unik!

Di Kopimeo, menu tersebut merupakan antara menu yang digemari ramai. Selain itu, menu lain seperti Churros dan Spaghetti Gulai Lemak juga merupakan antara menu yang laku keras di sini.

Alamat: 29, Jalan Tengku Ampuan Zabedah B 9/B, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor

Pak Anjang Bariani Johore

pak anjang bariani @ tempat makan shah alam
Imej via Foursquare

Jika anda pernah mencuba briyani gam di Johor, pasti anda teringin untuk menikmatinya lagi, bukan? Tidak perlu jauh-jauh ke Johor, kerana di Shah Alam anda boleh singgah di Pak Anjang Bariani Johore.

Antara lauk untuk menu ini ialah ayam, kambing, lamb shank dan daging. Selain briyani gam, mi bandung dan tofu bakar juga ada disediakan di sini.

Alamat: 44, Jalan Rugby 13/30, Seksyen 13 Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Momento Cafe

momento
Imej via Foursquare

Suasana kafe yang cukup rileks dan santai membuatkan ramai pengunjung selesa meluangkan masa di Momento Cafe sambil menghirup kopi di sini. Merupakan salah satu tempat makan best di Shah Alam.

Selain kopi, kafe ini ada menyediakan hidangan Barat seperti pasta, pizza, stik dan makanan berat yang lain. Bukan sahaja enak, malah mengenyangkan!

Alamat: 39 Jalan Setia Indah X U13/X, Seksyen U13, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-11.00 pm)

Nasi Bukit

nasi bukit
Imej via Foursquare

Restoran ini kerap dikunjungi orang ramai dek kerana saiz hidangan Nasi Goreng Bukit yang sememangnya besar. Tambahan pula, harga yang ditawarkan juga murah.

Nasi Goreng Bukit ini merupakan nasi goreng biasa yang dihidangkan bersama daging, ayam dan sayur-sayuran yang dicincang. Harga yang ditawarkan murah dan sangat berbaloi!

Alamat:  22, Jalan Mat Raji, Taman Baru, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (12.30 pm-10.00 pm)

Kesimpulan

Tempat makan best di Shah Alam 2024 yang manakah yang menjadi pilihan anda? Pasti kebanyakkannya menepati citarasa anda, bukan? Singgah sahaja jika berpeluang!

Kami juga ingin nasihatkan anda agar datang pada waktu yang sesuai. Takut nanti berebut ruang parkir dan ruang dalam restoran pula. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.